suria

PM Tinjau Operasi Penyediaan Bajet 2017

Najib menunjukkan dokumen Bajet 2017 pada persiapan akhir bajet berkenaan di Kementerian Kewangan malam Khamis. fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa meninjau operasi penyediaan Bajet 2017 di Perbendaharaan Malaysia, Kompleks Kementerian Kewangan di sini, malam Khamis.

Ketibaan Najib yang juga Menteri Kewangan ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di perkarangan Kompleks Kementerian Kewangan pada pukul 8 malam disambut pegawai dan petugas kementerian yang terlibat dalam penyediaan bajet.

Hadir sama Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Lee Chee Leong dan Datuk Othman Aziz, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Najib kemudiannya dibawa meninjau bilik-bilik operasi bajet.

Perdana Menteri dijadual membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat bermula 4 petang Jumaat.

Dalam kenyataan diterbitkan dalam laman Facebook rasmi Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Khamis, Najib berkata Bajet 2017 akan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan asas-asas ekonomi negara kekal cergas dan kukuh.

Beliau berkata intipati dalam bajet itu, akan termasuk dasar mengenai sasaran-sasaran defisit, langkah-langkah untuk memacu aktiviti ekonomi, serta usaha dalam memastikan sistem kewangan jangka panjang yang sihat.

Najib turut menyangkal andaian daripada beberapa pengulas bahawa bajet tahun ini akan menjadi bajet 'Pilihan Raya Umum'.

Dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya hari ini, Najib berkata beliau akan mengumumkan sesuatu mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan beberapa inisiatif lain pada pembentangan Bajet 2017. - BERNAMA 


Najib Tun Razak, Bajet 2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain