suria

Telegram Aplikasi Terbaharu Daesh Rekrut Rakyat Malaysia

KEMAMAN: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mendapati kumpulan militan Daesh menjadikan aplikasi Telegram sebagai medium terbaharunya untuk menyebarkan ideologi dan merekrut rakyat Malaysia.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata Telegram adalah antara 14 aplikasi media sosial yang digunakan Daesh untuk berhubung dengan orang ramai sebelum merekrut mereka dan mengatur pemergian mereka ke Syria.

"Sebelum ini, mereka menggunakan Facebook, WhatsApp, WeChat dan sebagainya untuk mempegaruhi orang ramai menyertai kumpulan mereka. Penggunaan media sosial untuk aktiviti ini masih menjadi medium utama mereka.

"Namun, sejak pertengahan tahun lepas, kita mengesan mereka beralih kepada aplikasi Telegram bagi menggelak perbualan dikesan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Maal Hijrah Peringkat Daerah Kemaman, di sini, Isnin.

Beliau berkata Daesh didapati menggunakan Telegram kerana aplikasi itu sukar dipantau dan menerusi WhatsApp, mereka menggunakan kumpulan berbeza untuk berkomunikasi.

Ayob Khan berkata PDRM juga mendapati Daesh masih aktif merekrut rakyat Malaysia menyertai kumpulannya berdasarkan rekod pergerakan ke Syria yang dikesan pada Ogos dan September lepas.

"Memang ada kesukaran untuk mereka menyusup masuk (dalam negara) tetapi mereka masih mencari ruang merekrut rakyat Malaysia untuk diseludup ke Syria," katanya.

Beliau berkata Daesh juga menggunakan premis-premis seperti hotel untuk mengadakan pertemuan dengan anggotanya bagi merancang aktiviti keganasan mereka,  dengan taktik itu dikesan di sebuah hotel di Cheras, Kuala Lumpur pada April lepas.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM mengesan 15 anggota tentera,tiga anggota polis dan seorang polis bantuan menyertai Daesh setakat ini.

Beliau berkata anggota keselamatan menjadi sasaran Daesh kerana mereka mempunyai kepakaran dan akses kepada senjata api dan bahan letupan.

"Jika membabitkan mana-mana anggota pasukan keselamatan sama ada polis, Rela, tentera dan sebagainya, walaupun dengan maklumat yang sedikit dan bukti kurang kukuh, kita perlu mengambil tindakan awal (untuk mengekang kegiatan militan)," katanya.

Menurutnya anggota pasukan keselamatan itu adalah antara 26 penjawat awam daripada sejumlah 255 orang yang ditahan PDRM sejak 2013.

"Selain penjawat awam, ada juga pensyarah universiti, pekerja syarikat swasta dan pelajar yang terlibat dengan kegiatan militan," katanya.

Sementara itu, Ayob Khan meminta jabatan agama dan mufti supaya membantu membendung kegiatan militan kerana ia bukan sahaja melibatkan isu keselamatan malah akidah umat Islam.

"Jika hanya pihak polis sahaja yang bercakap, mungkin kita hadapi kesukaran untuk meyakinkan (umat Islam)...bagi isu akidah ini, kita mahu mufti-mufti ke depan (untuk menerangkan tentangnya)," kata beliau. - BERNAMA



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain