suria

Suspek Utama Kes Tikam Dipercayai Masih Di Terengganu

Unit Forensik mengangkat mayat mangsa bunuh yang ditemui di tempat letak kereta pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM) pada Ahad. foto ZABIDI TUSIN/The Star

KUALA TERENGGANU: Polis percaya suspek utama kes bunuh kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan di tempat letak kereta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu, di sini masih bersembunyi di negeri itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata pihaknya turut bekerjasama dengan polis di kawasan sempadan bagi memastikan suspek tidak dapat meloloskan diri ke negara jiran.

"Rakan suspek yang bertindak sebagai pemandu juga memaklumkan suspek pulang bersama ke rumahnya di Jalan Tanjung Bunut, Kampung Buluh Gading selepas kejadian tikam itu bagi mengambil motosikal yang ditinggalkan di rumah berkenaan.

"Kami meminta orang ramai yang berjumpa atau mengetahui di mana suspek berada untuk melaporkan ke balai polis berhampiran.

"Orang ramai juga diingatkan supaya tidak bertindak melindungi suspek bagi mengelakkan tindakan undang-undang kerana bersekongkol, menyembunyi atau melindungi suspek," katanya kepada pemberita, di sini, Isnin.

Wan Abdul Aziz turut menasihatkan orang ramai supaya menghentikan perbuatan menyebarkan gambar pembunuhan mangsa di media sosial dan berita yang boleh mengganggu siasatan polis.

Pada Ahad, rakan suspek serta bapa saudaranya ditahan kira-kira pukul 4.30 petang dan 4.45 petang oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu dan Balai Polis Manir.

Kedua-dua mereka yang berusia 27 dan 55 tahun itu diberkas dalam dua serbuan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Mohamad Shukri Husin, 34.

Mangsa mati selepas ditikan enam kali dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu. - BERNAMA

suspek tikam, Terengganu, PDRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain