suria

Perak Warta Hampir 100,000 Hektar Hutan Simpan Kekal

GAMBAR HIASAN

LUMUT: Seluas 997,604 hektar hutan di Perak diwartakan sebagai kawasan Hutan Simpan Kekal setakat bulan lalu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 42,223 hektar hutan dikategorikan sebagai Hutan Simpanan Kekal Paya Laut meningkat berbanding 41,616 hektar sebelum ini.

"Keluasan Hutan Simpanan Kekal Paya Laut mencatat pertambahan selepas kerajaan negeri mewartakan sebahagian kawasan di daerah Kinta dan Manjung seluas 616 hektar sebagai Hutan Simpan Lekir tahun lepas," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Jambatan Ilmu dan penanaman 10,000 anak pokok bakau di di Parit Haji Dollah, Lekir di sini pada Sabtu.

Menurut Nolee Ashilin, pertambahan keluasan hutan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara dan memulihara khazanah hutan bagi kepentingan rakyat dan alam semula jadi.

Jelasnya, sejak tahun 2005, kerajaan negeri telah menanam lebih 14 juta pokok bakau dan spesis bersesuaian di kawasan paya laut serta pesisiran pantai membabitkan kawasan seluas 3,710 hektar di seluruh Perak.

Menurut Nolee Ashilin, program penanaman itu disokong kerajaan Persekutuan yang menyalurkan peruntukan RM143,000 melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia kepada Pejabat Perhutanan Negeri Perak.

Sementara itu, Pegawai Daerah Manjung, Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata pihaknya sentiasa memberi perhatian kepada kepentingan memperluaskan lagi  aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan paya bakau di daerah itu.

Beliau kecewa kerana ada pihak-pihak tertentu seolah-olah menyalahkan pihaknya jika ada kawasan hutan dimusnahkan, tanpa terlebih dahulu menyemak fakta dan maklumat sebenar.

"Saya ingin tegaskan pihak kami sering membuat penelitian mendalam dan tiada sebarang unsur pemusnahan hutan berlaku di kawasan ini (daerah Manjung)," katanya. - BERNAMA

Perak, Hutan Simpan Kekal

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain