suria

Larangan Ke Luar Negara Terhadap Tony Pua Ditarik Balik

PETALING JAYA: Larangan perjalanan ke luar negara yang dikenakan ke atas pemimpin DAP, Tony Pua telah ditarik balik.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, ketua penasihat undang-undang DAP, Gobind Singh Deo telah dimaklumkan oleh Jabatan Peguam Negara bahawa beliau kini bebas untuk melancong ke luar negara.

"Gobind Singh Deo memberitahu saya bahawa Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara memberitahunya bahawa larangan perjalanan saya telah ditarik balik.

"Saya telah dihalang daripada melakukan perjalanan sejak akhir Julai 2015 kerana saya sedang disiasat oleh polis berhubung satu jenayah keterlaluan iaitu menjalankan 'aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen', yang boleh dihukum penjara 20 tahun.

"Saya baru sahaja semak laman web imigresen dan ya, status saya kini 'tiada halangan," kata Pua menerusi Facebook pada Sabtu.

Pua telah dihalang daripada meninggalkan negara ini pada Julai tahun lepas ketika apabila beliau sepatutnya terbang ke Yogyakarta, Indonesia.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu kemudian memohon semakan kehakiman.

Mahkamah Tinggi pada 27 Julai tahun ini bagaimanapun memutuskan bahawa Ketua Pengarah Imigresen mempunyai kuasa untuk menghalang seseorang daripada ke luar negara.

"Tidak sabar untuk melakukan lawatan pertama saya ke luar negara," kata Pua.

Tony Pua, DAP

Artikel Lain