suria

MP Ipoh Timur Didakwa Anjur Perhimpunan Haram

Thomas tiba di Mahkamah Sesyen Ipoh bagi menghadapi pendakwaan kali kedua atas tuduhan adakan perhimpunan haram pada 9 Mei 2013 hari ini.
 fotoBERNAMA

IPOH: Ahli Parlimen Ipoh Timur Thomas Su Keong Siong pada Jumaat sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menganjurkan perhimpunan haram tiga tahun lalu.

Su, 50, berpakaian sut hitam, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana tidak memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Ipoh dalam tempoh 10 hari sebelum mengadakan perhimpunan pada 9 Mei 2013 di Dewan Wisma Chin Woo di sini kira-kira pukul 7.30 malam.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 9 (5) akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.

Ikmal Hishan menetapkan 18 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Jeffrey Ong, manakala tertuduh diwakili peguam Ram Karpal Singh.

Pada 27 Mei 2013, Su didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan sama dan pada 5 Mei 2014, beliau memohon kepada mahkamah agar pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Pada 16 Mei 2014, Mahkamah Sesyen Ipoh melepaskan tanpa membebaskan anggota politik itu daripada tuduhan menganjurkan perhimpunan awam tanpa notis.

Hakim Rushan Lufti Mohd dalam penghakimannya berkata keputusan itu dibuat kerana terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang menyatakan syarat notis 10 hari mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai bertentangan dengan Perlembagaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain