suria

Chegubard Bebas Tuduhan Anjur Perhimpunan Di PJ

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini, melepaskan dan membebaskan Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin daripada pertuduhan menganjurkan program penghargaan pengundi  Selangor, tiga tahun lepas.

Hakim Mohamad Kamil Nizam membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim manakala Badrul Hisham, 38, diwakili peguam Haijan Omar.

Bagi pertuduhan itu, Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard didakwa sebagai penganjur, dia gagal memberitahu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya mengenai program itu dalam tempoh masa ditetapkan iaitu 10 hari sebelum tarikh program.

Pada 8 Disember 2015, Chegubard yang juga bekas Ketua PKR Cabang Rembau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di Dataran Petaling Jaya, Padang Timur, Jalan Timur di sini pada 5 petang, 25 Mei 2013.

Pertuduhan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 itu yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000, jika sabit kesalahan.

Pada 5 Jun 2013, Badrul Hisham didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan sama.

Bagaimanapun pada 4 Ogos 2014, Mahkamah Sesyen di sini melepaskan tanpa membebaskan Badrul Hisham selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan.   -- Bernama 


Chegubard, PJ, SAMM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain