suria

Majerin Disalah Anggap Sebagai Mentega

PETALING JAYA: Pasar raya terkemuka mengelirukan pengguna apabila menjual majerin yang didakwa sebagai mentega atau campuran mentega, kata jurucakap hak pengguna Justin Fitzpatrick.

Bercakap kepada The Star Online, Fitzpatrick berkata dia mendapati jenama terkenal mentega import yang dijual di pasar raya tempatan sebenarnya dihasilkan daripada lemak sayur-sayuran.

"Pada mulanya saya menyedari pasar raya menawarkan tawaran khas dan saya fikir ia benar-benar murah. Namun sebaik saya membaca senarai bahan-bahan yang terkandung dalam produk itu, saya dapati ia dihasilkan menggunakan lemak sayur-sayuran," katanya.

Fitzpatrick berkata dia menghubungi pembekal dan mendakwa pembekal itu pada awalnya memaklumkan bahawa produk itu adalah mentega.

Menurutnya, selepas diasak, pembekal itu memberitahu bahawa produk itu sebenarnya adalah campuran mentega.

"Secara teknikal, pembekal tidak sepatutnya memanggil produk itu sebagai campuran mentega kecuali mereka dapat membuktikan berapa banyak mentega terkandung di dalam produk tersebut.

"Jika ada lihat bahan-bahannya, tiada peratusan berapa banyak mentega di dalamnya, jadi bagaimana anda panggil itu mentega," kata Fitzpatrick.

Fitzpatrick berkata mana-mana produk yang dilabelkan sebagai campuran mentega harus mengandungi sekurang-kurangnya 10 peratus mentega di dalam bahan tersebut.

Susulan itu, katanya, ramai rakyat Malaysia dikelirukan selama bertahun-tahun kerana mereka tidak menyedari bahan-bahan yang terkandung dalam mentega yang dibeli.

Dia turut menyalahkan pasar raya kerana berpura-pura tidak tahu dan membenarkan pembekal menjual produk itu sebagai mentega.

"Ia adalah mentega paling murah tetapi majerin termahal," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) Dr Tee E Siong menjelaskan mentega diperbuat daripada lemak haiwan yang boleh diperolehi daripada sumber susu lembu manakala majerin daripada lemak tumbuhan.

Beliau menegaskan Peraturan 103 dan Peraturan 105 Akta Peraturan Makanan 1985 jelas menunjukkan mentega perlu dihasilkan secara eksklusif dari susu, krim atau kedua-duanya manakala majerin boleh diperbuat menggunakan sebarang lemak atau minyak yang boleh dimakan.

"Peraturan makanan di negara ini amat jelas mengenai definisi mentega dan majerin kerana kedua-duanya berbeza sama sekali. Jika senarai bahan mengatakan produk itu diperbuat daripada lemak mentega maka ia adalah mentega dan bukan majerin," kata Dr Tee.

Beliau turut menjelaskan bahawa komponen utama bahan-bahan sesuatu produk perlu disenaraikan pada label atau pembungkusan.

Ketika ditanya mengenai produk yang dikenal pasti oleh Fitzpatrick, Tee mempunyai beberapa fakta selepas meneliti gambar produk tersebut.

"Perhatikan kolon selepas hidrogenasi lemak sayur-sayuran ini. Ini bermakna produk tersebut mempunyai kandungan kecil kelapa kering, susu mentega dan mentega berbanding lemak sayur-sayuran," katanya.

Beliau berkata agak sukar produk tersebut diterima secara sah sebagai mentega.

"Agak sukar menerima produk ini sebagai mentega, jika kita ambil kira Peraturan 103 untuk mentega. Produk ini mungkin boleh dipanggil majerin," katanya.

mentega, majerin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain