suria

Juruteknik TNB Parah Akibat Renjatan Elektrik Meninggal Dunia

Mohd Zaid meninggal dunia selepas melecur di badan apabila kabel bervoltan tinggi di rumah pencawang elektrik yang sedang diselenggara meletup. -fotoBERNAMA

TELUK INTAN: Juruteknik Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang parah akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian di sini semalam, meninggal dunia pagi Khamis.

Mohd Zaid Sulaiman, 34, yang melecur sehingga 80 peratus bahagian badan, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan kira-kira pukul 8 pagi.

Dalam satu kenyataan, Pengurus Besar TNB Perak Raja Abdul Jalil Raja Zaid berkata pihaknya telah dan akan terus memberi pertolongan serta bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa.

Jenazah Allahyarham Mohd Zaid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Dipang, Kampar, petang ini.

Mohd Zaid melecur selepas terkena percikan arka pepasangan elektrik di Pencawang Elektrik Medan Niaga Lagenda, Hutan Melintang dekat sini.

Allahyarham yang berkhidmat dengan TNB sejak April 2002, meninggalkan isteri, Norlydianawati Idris Akri yang kini sarat mengandung lapan bulan, serta dua anak masing-masing berumur enam dan lapan tahun.

TNB, Renjatan Elektrik

Artikel Lain