suria

Bantahan Orang Asli Boleh Diselesai - MB Kelantan

GUA MUSANG: Bantahan lebih 200 penduduk Orang Asli ke atas aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal Balah, Gua Musang adalah berpunca daripada salah faham dan boleh diselesaikan, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata mereka perlu memahami bahawa aktiviti pembalakan merupakan  sumber hasil kerajaan negeri dan mereka tidak boleh mendesak agar aktiviti itu dihentikan tanpa alasan kukuh.

"Lagi pun,segala aktiviti pembalakan itu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Perhutanan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil Lojing di Pos Brooke di sini, Khamis.

Ahmad diminta mengulas mengenai tindakan penduduk Orang Asli yang berhimpun dan membina sekatan di laluan keluar-masuk lori pengangkut balak di Kampung Petei, Pos Bering di sini sejak 26 September lepas.

Kumpulan berkenaan menggesa semua aktiviti pembalakan di Hutan Kekal Simpan Balah yang berhampiran kawasan penempatan mereka dihentikan kerana mendakwa aktiviti itu merosakkan alam sekitar dan memupus hutan hingga menjejaskan mata pencarian mereka.

Pada Isnin lepas kerajaan negeri mengarahkan syarikat pembalakan agar menangguhkan operasi berkaitan pembalakan di kawasan terbabit sehingga semua isu yang timbul dapat diselesaikan.

Ahmad berkata kerajaan negeri tidak akan menghentikan selama-lamanya aktiviti pembalakan atas sebab salah faham kumpulan penduduk tertentu yang tinggal di kawasan Hulu Kelantan.

Beliau berkata jika aktiviti pembalakan dihentikan, ia akan menjejaskan sumber hasil kerajaan negeri dan merencatkan faedah yang dinikmati rakyat.

Ditanya kemungkinan tindakan kumpulan Orang Asli terbabit adalah akibat hasutan pihak tertentu, Ahmad berkata perbuatan itu tidak harus berlaku kerana ia tidak memberi sebarang faedah.

Artikel Sebelum

Uber Sabah Perlu Mohon Permit

Artikel Lain