suria

Murid Orang Asli Tergamam Kali Pertama Sambut Hari Jadi Beramai-Ramai

Murid perempuan Orang Asli Damia Nordin, 9, (empat, kanan) ceria selepas acara memotong kek beramai-ramai bersama rakan-rakan sempena sambutan hari lahir di Sekolah Kebangsaan Palong 12 (F), Khamis.

JEMPOL: Damia Nordin, 9, kelihatan terpinga-pinga melihat rakan-rakan sebayanya bergembira meraikan sambutan hari jadi yang dianjurkan secara besar-besaran di sekolahnya.

Dalam kesibukan rakan sebaya ke sana ke mari, murid perempuan Orang Asli itu masih lagi membatukan diri di bangku kantin Sekolah Kebangsaan Palong 12 (F), di sini memerhatikan gelagat rakan-rakannya.

Ketika ditemui Bernama, Damia berkata hari ini adalah hari yang paling seronok dalam hidupnya apabila dapat merasai sendiri sambutan hari jadi yang disambut bersama 149 murid dan 19 guru termasuk guru besar.

"Selama ini tidak pernah sambut...tiada kek, tiada lilin dan nyanyian...yang ada nasi sahaja. Tak pernah lagi sambut hari jadi seperti ini...seronok dan sedap," katanya.

Bercita-cita untuk menjadi seorang doktor, Damia yang memulakan alam persekolahan pada usia 8 tahun berkata beliau amat teruja bersekolah di situ.

"Sini ramai kawan dan saya minat baca buku...saya suka mata pelajaran matematik dan guru-guru pula baik," katanya. 

Sementara itu, Guru Besar Shamsudin Salleh berkata sepanjang dua tahun mengajar di sekolah berkenaan enrolmen kemasukan anak Orang Asli sangat rendah sebelum ini berbanding tahun ini.

"Sebelum ini saya difahamkan adalah seorang, kadang-kadang dua orang...tapi tahun ini lapan orang anak Orang Asli masuk ke sekolah ini. Ini satu perkara yang baik," katanya.

Manakala Guru Matematik Noriza Mamat pula menyifatkan kesemua mereka mempunyai semangat yang tinggi untuk belajar selain guru-guru memerlukan kesabaran yang tinggi memandangkan hampir kesemuanya buta huruf.

"Seperti Damia, kita letakkan dia di darjah satu dahulu selama enam bulan sebagai tempoh percubaan dan kemudian barulah kita pindahkan dia ke darjah tiga.

"Apa yang unik pada mereka, mereka mampu memperoleh A dalam subjek Bahasa Malaysia dan Matematik walaupun lewat daftar masuk sekolah. Ini satu yang mengagumkan," katanya.

Menyentuh mengenai program sambutan hari jadi itu, Shamsudin berkata ia adalah program yang kali pertama dianjurkan pihak sekolah dengan matlamat meraikan semua murid secara serentak serta bagi menarik minat mereka hadir ke sekolah.

"Alhamdulilah setakat ini kehadiran ke sekolah mencapai KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan dan Pejabat Pendidikan Daerah iaitu 95 peratus kehadiran murid ke sekolah meskipun selepas peperiksaan.

Selain program ini yang akan kita jadikan sebagai program tahunan, program lain seperti permainan tradisional dan khidmat bakti seperti melukis mural di dinding sekolah berjaya menarik minat murid dan penyertaan ibu bapa," katanya.-- Bernama



Damia Nordin, Orang Asli, Jempol

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain