suria

Jom! Tewaskan Atlet Olimpik, Paralimpik Rio - KJ

PUTRAJAYA: Jika anda fikir mampu menyaingi kehebatan wira-wira negara di temasya sukan Olimpik dan Paralimpik Rio 2016, masanya telah tiba untuk buktikan kemampuan itu.

Wira-wira negara seperti Datuk Lee Chong Wei, Azizul Hasni Awang, Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli sudah bersedia di gelanggang masing-masing untuk menyahut cabaran anda.


Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, peluang itu terbuka kepada sesiapa sahaja yang mengunjungi majlis pelancaran Hari Sukan Negara 2016 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya pada Sabtu ini.

“Sesuatu yang istimewa pada tahun ini iaitu atlet-atlet olimpik dan paralimpik negara bukan sekadar hadir sebagai tetamu, tetapi kami menyediakan aktiviti melibatkan acara bersama mereka.

“Orang ramai yang hadir ke majlis pelancaran di Putrajaya boleh bermain badminton bersama Lee Chong Wei, angkat berat dengan Ziyad Zolkefli atau speed test dengan Muhammad Ridzuan Puzi,” katanya menerusi wawancara khas sempena Hari Sukan Negara 2016 di pejabatnya pada Rabu.

Selain itu menurut Khairy, kementeriannya menyasarkan tujuh juta penyertaan atau 20 peratus daripada populasi rakyat Malaysia untuk melibatkan diri dalam pelbagai acara sukan di setiap peringkat Sabtu ini.

“Kami menjangkakan sebanyak 22,500 aktiviti akan diadakan di seluruh negara semasa Hari Sukan Negara termasuk di semua kawasan kampung, daerah, kerajaan negeri, kementerian-kementerian termasuk acara anjuran pihak swasta,” katanya.

Menurut Khairy lagi, sambutan Hari Sukan Negara yang mula diperkenalkan tahun lalu merupakan inisiatif kementeriannya dalam proses transformasi ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.

“Ia penting dalam usaha menggalakkan rakyat menerapkan budaya hidup cergas dan aktif memandangkan peratusan masyarakat Malaysia yang aktif bersukan masih lagi rendah iaitu pada kadar sekitar 40 peratus berbanding 50 hingga 60 peratus di negara maju.

“Budaya sukan melalui amalan gaya hidup cergas dan aktif pada masa sama dapat membantu menurunkan kadar penyakit kronik di kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain