suria

Azizan Dapat 'Doktor' Luar Negara

PETALING JAYA: Syarikat Richworks International Sdn Bhd mendakwa penceramah popular, Azizan Osman menjadi mangsa pihak tertentu berhubung kontroversi anugerah ijazah doktor kehormat (PhD) membabitkan tiga universiti di negara ini.

Sebaliknya menurut kenyataan Richworks yang diasaskan Azizan, beliau merupakan pemegang PhD dari sebuah universiti di Amerika Syarikat dan bakal menerima satu lagi anugerah kedoktoran dari universiti di United Kingdom.

"Dr Azizan Osman memegang kelulusan Doktor Sains (Metafizik) dari Gordon University, Bradenton, Florida, Amerika Syarikat sejak 2009.

"Sepanjang empat tahun yang lalu, Dr Azizan telah memenuhi semua syarat-syarat untuk Doktor Falsafah (Psikologi) dari Universiti Hertfordshire, United Kingdom. Konvokesyen beliau di Universiti Hertfordshire dijangka berlangsung dalam masa yang terdekat," kata syarikat itu pada Khamis.

Untuk rekod, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL) masing-masing menafikan pernah memberi pengiktirafan peringkat PhD kepada Azizan.

Menjelaskan mengenai dakwaan kononnya Azizan menjadi mangsa keadaan, Richwoks berkata: "Dr Azizan Osman telah malangnya disasarkan dan diperdayakan oleh pihak-pihak yang bukan wakil universiti tersebut (UM)."

Menurut Richworks, laporan polis mengenainya sudah dibuat.

"Semasa proses siasatan dalaman yang kami telah jalankan baru-baru ini, kami menjumpai beberapa kelemahan serius berkenaan prosedur-prosedur operasi kami.

"Malangnya, kelemahan ini telah menyebabkan penggunaan ijazah kedoktoran dari IUKL dan UKM sebagai rujukan kepada Dr Azizan Osman yang tidak pernah beliau akui," katanya.

Richworks, yang ditubuhkan pada 2008, merupakan sebuah syarikat penganjuran seminar berkaitan pembangunan kemuncak prestasi dalam bidang perniagaan dan keusahawanan serta pembelian barangan dalam talian.

Azizan Osman, Richwork

Artikel Lain