suria

Sanjeevan Bebas, Polis Tarik Balik Rayuan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan membatalkan rayuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Datuk R Sri Sanjeevan, daripada penahanan salah pada Julai lalu.

Pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) itu ditahan selama 21 hari mengikut Akta Pencegahan Jenayah 2013 (Poca).

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, membuat keputusan itu selepas Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Sinti memaklumkan perayu tidak berhasrat meneruskan rayuan itu dan menarik balik rayuan.

Dalam permohonan habeas corpus Sanjeevan pada 26 Julai, Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Shariff Abu Samah memutuskan adanya keraguan dalam penahanannya.

"Keraguan dalam penahanan ini mewujudkan pelbagai tanggapan dan dengan itu Sanjeevan perlu dibebaskan serta-merta," katanya.

Susulan itu, pada 27 Julai lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan pegawai penyiasat, Asisten Superintendan E K Poonam memfailkan rayuan terhadap perintah melepas dan membebaskan Sanjeevan dari pusat tahanan reman.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Sanjeevan untuk mencabar perintah reman 21 hari yang dikenakan terhadapnya mengikut Seksyen 4(1)(a) Poca.

Sanjeevan ditahan reman pada 11 Julai selepas didakwa melakukan ugutan jenayah dan peras ugut.

Artikel Sebelum

Artikel Lain