suria

Pos Malaysia Terima Anugerah A-Star Di Istanbul

Mohd Shukri dan Jailani mewakili Pos Malaysia ketika menerima anugerah itu di Istanbul.

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia menerima anugerah 'A-Star'  bagi Persijilan Pengurusan Kualiti di kongres Universal Postal Union (UPU) ke-26 di Istanbul, Turki pada Isnin lalu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pos Malaysia, anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan bertaraf global kepada mereka di atas kualiti pengurusan dalam memproses dan memberikan servis penghantaran terbaik di peringkat antarabangsa.

Anugerah itu diterima Pegawai Ketua Operasi Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukri Mohd Salleh dan disaksikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

"Penganugerahan ini mengukuhkan kedudukan Pos Malaysia sebagai teraju operasi pos bereputasi di dunia," menurut kenyataan tersebut selain menambah kejayaan ini adalah hasil kerjasama dan komitmen para pekerja Pos Malaysia sendiri.

"Ia juga merupakan bukti kebolehan Pos Malaysia dalam kesinambungan menambah baik kualiti servis bagi memenuhi keperluan pelanggan," tambah kenyataan itu lagi.

Anugerah A-Star merupakan anugerah tertinggi daripada UPU, iaitu sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu kepada syarikat operasi pos yang mencapai tahap kualiti terbaik dalam operasi mel antarabangsa.-- Bernama


Artikel Lain