suria

Lelaki Australia Hina Jalur Gemilang Bakal Kena Tindakan Tegas

KUALA LUMPUR:  Sembilan lelaki warganegara Australia yang memakai seluar dalam bercorak Jalur Gemilang semasa menyaksikan Perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) minggu lepas, bakal dikenakan tindakan undang-undang yang tegas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata polis diarah mengkaji tindakan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap kesemua lelaki itu kerana mereka sengaja melakukan perbuatan itu.

"Ini bukan satu perkara yang dibuat secara suka-suka...ada muslihat politik di belakangnya.

"Secara dasarnya, mereka akan didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh ditempat awam. Memandangkan perbuatan itu tidak membawa hukuman penjara, kami akan melihat undang-undang berkaitan lain bagi mengenakan hukuman lebih tegas,"katanya kepada pemberita selepas berucap pada Persidangan Antarabangsa Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan 2016 di sini, Rabu.

Nur Jazlan berkata beliaun yakin tindakan itu tidak akan menjejaskan hubungan dua hala Malaysia dan Australia.

"Aktiviti beberapa individu itu tidak akan menjejaskan hubungan dua hala. Ini kerana 99.99 peratus daripada pengunjung Australia ke negara kita tidak berperangai begitu.

"Semalam, Menteri Luar Australia telah menyatakan bahawa Malaysia patut mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap rakyat negara tersebut yang memalukan negara mereka sendiri,"kata Nur Jazlan.

Mengenai dakwaan pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan Melayu Datuk Jamal Md Yunus bahawa penganjur Perhimpunan Bersih 5.0 diserapi unsur-unsur Daesh, Nur Jazlan berkata polis akan menyiasat dakwaan itu. -Bernama

Bendera Malaysia, Australia

Artikel Lain