suria

Bayi 'Marrybrown' Diberi Nama Nur Dayana

Nurul Haslina memangku Nur Dayana yang dilahirkan di sebuah restoran makanan segera pada Ahad lalu.

SUNGAI PETANI: Ibu bapa kepada bayi yang dilahirkan di restoran makanan segera Marrybrown di Cmart Amanjaya Mall dekat sini menamakan anak mereka, Nur Dayana yang bermaksud cahaya dan berani.

Bapanya, Mohd Lutfi Hussein, 33, berkata dia dan isterinya, Nurul Haslina Abdul Halim, 27, seorang suri rumah membuat keputusan menamakan anak kedua mereka itu dengan nama tersebut kerana mempunyai maksud yang baik dalam Islam.

Nur bermaksud cahaya dalam Islam manakala Dayana, berani dan kuat.

"Apabila saya memberitahu isteri mengenai nama itu, dia menyokong keputusan saya," kata Mohd Lutfi.

Nur Dayana, seberat 2.56 kilogram (kg) dilahirkan di restoran tersebut kira-kira pukul 11.20 malam Ahad.

Bayi perempuan itu merupakan anak kedua pasangan tersebut.

Anak sulung mereka, Muhammad Aqhar kini berusia 13 bulan.

Mengimbau kembali saat Nur Dayana dilahirkan, Mohd Lutfi berkata dia dan isterinya pergi ke pusat membeli-belah itu bagi membeli barangan bayi sebelum pergi ke restoran Marrybrown untuk membeli nasi lemak.

"Ketika sedang makan nasi lemak, kira-kira pukul 10.40 malam, isteri saya mengadu sakit perut.

"Saya terkejut dan tidak menduga anak perempuan saya akan dilahirkan di restoran makanan segera.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada sesiapa sahaja yang membantu menyambut kelahiran bayi saya di restoran tersebut," kata Mohd Lutfi.

Nurul Haslina berkata dia dijangka melahirkan anak keduanya itu hujung bulan ini.

"Sakit perut itu tidak begitu teruk dan saya tidak menjangka akan bersalin pada waktu itu.

"Masih ada beberapa minggu sebelum tarikh saya dijadualkan bersalin, jadi saya membeli sedikit barang keperluan untuk anak kedua saya itu.

"Saya hanya mengalami sedikit kesakitan semasa berjalan ke pusat membeli-belah itu sebelum kami berhenti di restoran Marrybrown," kata Nurul Haslina.

Nur Dayana, bayi Marrybrown

Artikel Lain