suria

Najib Sifatkan Abdul Aziz Tokoh Pejuang Melayu Berjasa

Abdul Aziz Tapa.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Tapa sebagai seorang tokoh pejuang Melayu yang banyak berjasa.

Najib yang juga Presiden Umno berkata negara kehilangan seorang lagi tokoh pejuang dengan pemergian Abdul Aziz yang meninggal dunia di Hospital Putra, Melaka pada 11.55 pagi Selasa.

"Innalillahiwainnailaihirajiun. Dapat perkhabaran sedih, Tokoh Melayu Terbilang Tan Sri Abdul Aziz Tapa baru sahaja meninggalkan kita.

"Takziah buat keluarga Allahyarham, sama-sama kita doakan roh ditempatkan bersama yang beriman. Al-Fatihah," kata Najib menerusi catatan di laman rasmi Facebook beliau pada Selasa.

Abdul Aziz, 93, dilahirkan di Kampung Rim, Jasin, pada 13 Jun 1923, seorang guru sebelum berkecimpung dalam dunia politik pada 1946 dengan menyertai Pergerakan Melayu Semenanjung Johor, iaitu gerakan anti-Malayan Union diketuai Datuk Onn Jaafar.

Allahyarham pernah memegang jawatan penting dalam Umno dan Barisan Nasional Melaka termasuk Pengerusi Biro Veteran Umno Melaka, Bendahari BN Melaka, Pengerusi Tetap Umno Bahagian Jasin dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Jasin.

Beliau menjadi Senator dari 1975 hingga 1977 serta Anggota Dewan Undangan Negeri bagi Nyalas pada 1978 dan Adun Rim pada 1982.

Bagi mengenang jasa Abdul Aziz dalam perjuangannya untuk orang Melayu, beliau telah dianugerahkan Anugerah Tokoh Melayu Terbilang Umno 2016 semasa Hari Ulang Tahun Umno Ke-70 pada 12 Mei lepas. - BERNAMA

Abdul Aziz Tapa, Umno

Artikel Lain