suria

Bukit Aman Jangka IS Mungkin Rekrut Kaum Cina-Islam

IPOH: Bukit Aman percaya militan Negara Islam (IS) sedang mencari anggota di kalangan kaum Cina beragama Islam susulan video di Internet yang mengetengahkan ideologi golongan itu.

Pegawai Cawangan Khas Deputi Superitendan Tan Kok Thean berkata, video itu yang ditemui awal tahun ini memaparkan lagu keagamaan yang dinyanyikan dalam bahasa Cina.

"Walaupun tiada rakyat Malaysia berbangsa Cina yang didapat menyertai kumpulan militan, pihak kami masih dalam keadaan bersiapsiaga kerana usaha menambah keahlian bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan," katanya pada seminar ancaman keselamatan negara di sini, Ahad.

Seminar itu dijalankan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan, Gandingan Bersatu Malaysia dan Persatuan Keselamatan Sukarela Menglembu Perak.

Kok Thean berkata, setakat ini, 61 rakyat negara ini telah ke Syria bagi menyertai pertempuran menentang pasukan ketenteraan negara itu.

"Sejak 2001 hingga Ogos ini, kita telah menahan 550 individu yang didapati terlibat dalam kegiatan ekstrimis," katanya.

Beliau juga meminta rakyat negara ini supaya tidak melabel perundangan yang diwujudkan untuk melindungi negara ini seperti Akta Hasutan, Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan dan Akta Pencegahan Jenayah dan Keganasan sebagai draconian atau undang-undang yang mengenakan tindakan drastik dan tegas.

"Adalah salah untuk menganggap sedemikan (draconian) kerana undang-undang ini perlu untuk melindungi negara daripada sebarang ancaman seperti IS.

"Tanpa perundangan sedemikian, pihak militan akan mengambil kesempatan dan melancarkan serangan bom," katanya.

Beliau juga menggesa ibu bapa supaya sentiasa berjaga-jaga dan memantau pergerakan anak-anak bagi mengelak terpengaruh dengan pelbagai kegiatan negatif menerusi laman media sosial.

"Kami temui majalah yang boleh dimuat turun di Internet yang mengetengahkan kegiatan terkini IS.

"Media sosial juga boleh memberi cabaran kepada kita kerana kumpulan militan menggunakannya untuk menambah keanggotaan terutama di kalangan generasi muda," katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya memainkan peranan masing-masing sebagai masyarakat prihatin dan bertanggungjawab.




Cina, Islam, Bukit Aman, IS

Artikel Lain