suria

Polis Tahan Pekerja Ladang Disyaki Tetak Rakan Setugas Hingga Mati

KINABATANGAN: Polis menahan seorang pekerja ladang disyaki menetak rakan setugasnya hingga mati di Ladang Kurnialang Malbumi dekat sini, pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superitendan A. Sahak Rahmat berkata, lelaki warganegara Indonesia berusia 44 tahun itu ditahan tujuh jam selepas kejadian, apabila dia menyerah diri di pejabat pentadbiran ladang berkenaan.

Katanya, ketika ditahan pada 3 petang, polis turut merampas sebilah parang daripada lelaki berkenaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

A. Sahak berkata kejadian berlaku pada kira-kira 8 pagi di hadapan perumahan pekerja ladang apabila mangsa, Jumada Bin Tahniah, 46, warganegara Indonesia datang ke arah suspek sambil mengancam untuk membunuh suspek dan keluarganya.

Ketika itu suspek bersama-sama isterinya serta anak mereka sedang mencabut ubi keledek, sebelum berlaku pertengkaran, katanya dalam kenyataan, Isnin.

Menurut A.Sahak, mangsa kemudian cuba menyerang suspek dengan sebilah parang, sebelum suspek bertindak menetak leher kiri mangsa menggunakan sebilah parang.

Beliau berkata suspek kemudiannya mengarahkan isteri dan anak-anaknya masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu, sebelum melarikan diri ke dalam blok kelapa sawit.

Suspek ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-- Bernama



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain