suria

Warga Emas Positif Zika

PETALING JAYA: Seorang wanita berusia 60 tahun disahkan positif jangkitan Zika, menjadikan ia sebagai kes tujuh di negara ini dan kedua di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata wanita itu mengalami gelaja ruam dan mendapatkan rawatan di hospital swasta pada 25 September lalu.

"Hasil siasatan lanjut mendapati pesakit ini tidak pernah melawat negara yang endemik jangkitan Zika dalam masa terdekat atau tidak pernah berjumpa dengan mana-mana pesakit Zika.

"Di samping itu, suami serta anak pesakit yang tinggal serumah juga tidak menunjukkan sebarang gejala dan tanda-tanda penyakit Zika," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, pesakit itu disahkan positif jangkitan Zika berdasarkan ujian sampel darah dan air kencing yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Susulan kes terbaharu ini, beliau berkata aktiviti kawalan iaitu larvasiding, pendidikan kesihatan dan semburan kabus telah dilaksanakan terhadap 258 buah premis di lokaliti kediaman dan tempat-tempat lain yang pernah dilawati pesakit.

"Bermula dari 1 September hingga 29 September 2016, terdapat sebanyak tujuh (7) kes yang disahkan positif Zika di seluruh negara.

"Bagi tempoh sama, pemantauan KKM juga mendapati sebanyak 163 kes yang mempunyai gejala dan tanda-tanda jangkitan Zika telah dilaporkan, namun kesemuanya menunjukkan keputusan ujian yang negatif," katanya.


Zika, Sabah, KKM

Artikel Berikut

Artikel Lain