suria

Suspek Kedua Kes Culik Pelajar Tingkatan 3 Ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes culik seorang pelajar Tingkatan Tiga di Bandar Tun Hussein Onn pada 22 September lepas ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Damai Indah, Cheras, dekat sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Othman Nanyan berkata lelaki berusia 21 tahun itu ditahan hasil risikan polis dan maklumat orang awam dalam serbuan pada 7.30 pagi tadi.

Beliau berkata suspek, seorang yang masih bujang dan tidak bekerja merupakan bekas banduan penagih dadah jenis heroin serta mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah dan curi dalam bangunan.

"Hasil siasatan awal, suspek mengaku berperanan sebagai penunggang motosikal milik rakan sejenayahnya (suspek utama yang ditangkap semalam) dan melarikan mangsa dari tempat kejadian.

"Ketika itu, rakannya berperanan memegang mangsa dan mengugutnya dengan parang supaya tidak melawan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Othman berkata pihaknya turut merampas sehelai T-shirt merah dan sehelai seluar kelabu milik suspek.

"Ketika disoal siasat, suspek mengaku memakai pakaian ini semasa melakukan kes berkenaan dan suspek direman tujuh hari mulai hari ini sehingga 5 Okt depan.

"Siasatan lanjut diteruskan bagi mengumpulkan segala bukti yang ada untuk  menuduh kedua suspek di mahkamah," katanya sambil menambah kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melakukan penculikan.

Ditanya mengenai motif melarikan remaja perempuan berkenaan, Othman berkata pihaknya masih menyiasat.

Pada 22 September lepas, remaja berkenaan yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn dilapor dilarikan dua lelaki bermotosikal ketika sedang menunggu van sekolah di hadapan rumahnya di Bandar Tun Hussein Onn.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain