suria

Gangguan Bekalan Air Disyaki Perbuatan Khianat

KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menggantung seorang pekerjanya kerana disyaki terlibat dalam perbuatan khianat yang menyebabkan gangguan bekalan air hingga menjejaskan 340,000 pengguna di Klang dan Petaling 1 September lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata pekerja tersebut digantung pada 6 Sept lepas manakala laporan polis berhubung kejadian itu dibuat pada 9 September lalu.

Katanya laporan siasatan juga dikemukakan kepada Suruhjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Gangguan itu menjejaskan lebih 39,000 akaun di 24 kawasan di Klang dan 29,000 akaun di 27 kawasan di Petaling, terutamanya di kawasan Sime UEP," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bekalan air kembali pulih pada 2 September lalu.

Suhaimi berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin atau memecat pekerja yang didapati terlibat dalam perbuatan khianat.

Air Selangor akan memastikan kejadian seperti ini tidak berulang dan mengelakkan sebarang kejadian gangguan bekalan air akibat kecuaian pekerja, katanya.

Air Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain