suria

Cubaan Seludup 460 Ekor Burung Murai Gagal

JOHOR BARU: Seorang lelaki warga tempatan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Pengerang dipercayai cuba menyeludup keluar 460 ekor burung murai ke negara jiran, dekat Teluk Ramunia, tengah malam Rabu.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Supt Shaari Arifin berkata pihaknya menemui lori itu berhenti berdekatan Teluk Ramunia pada pukul 12.30 tengah malam, yang dipercayai dibawa lelaki berusia 30-an itu, untuk diseludup menerusi jalan laut.

"Semasa pemeriksaan dilakukan, lelaki tersebut gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan pemilikan burung murai tersebut. Selain itu, polis juga merampas satu unit enjin sangkut yang berada di dalam lori tersebut disyaki enjin curi," kata beliau dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Menurut beliau, jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM48,000 termasuk kenderaan dan enjin.

Shaari berkata lelaki itu dan segala rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Pemulhan Hidupan Liar 2010.

Burung Murai, Polis Marin

Artikel Sebelum

Artikel Lain