suria

Setiausaha Agung Parti Komponen BN Bincang Isu Persempadanan Semula

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

PUTRAJAYA: Semua setiausaha agung parti komponen Barisan Nasional (BN) dipanggil bagi membincangkan mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu mesyuarat di Kuala Lumpur pada Khamis.

Setiausaha Agung BN yang juga Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata setiausaha agung parti komponen akan dikehendaki menyerahkan usul bantahan kepadanya sebelum dikemukakan kepada SPR.

"Saya akan beri tempoh mungkin sehingga Selasa (depan) untuk menyerahkan segala ketidakpuasan hati mereka," katanya kepada media ketika ditemui selepas menghadiri majlis penutupan pertandingan menghias dan persembahan kelas bersempena bulan kemerdekaan sekolah-sekolah Putrajaya 2016, di sini.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan Pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

Semua pihak diberi masa selama sebulan sehingga 14 Okt untuk mengemukakan bantahan masing-masing.

Mengulas laporan mengenai Tan Sri Muhyiddin Yassin dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri jika pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),  Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata ia tidak akan menjadi kenyataan kerana pembangkang tidak akan menang pada pilihan raya itu.

"Biarkan mereka bermimpi," katanya mengenai cadangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menamakan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia sebagai calon Perdana Menteri ketika menjawab soalan hadirin dalam ceramahnya di University of London, baru-baru ini.

Artikel Sebelum

PAS Bidas Sekutu Politik

Artikel Berikut

Banjir Kilat Landa Pulau Pinang

Artikel Lain