suria

Amanah Sedia Hadapi Pilihan Raya Mengejut Di Selangor

SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) sedia menghadapi pilihan raya mengejut di Selangor walaupun terpaksa bertanding secara tiga penjuru dengan PAS dalam persempadanan kawasan yang akan dilakukan.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad bagaimanapun berkata, cadangan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hanya wajar ditolak sekiranya cadangan persempadanan baharu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak diteruskan.

Selain itu katanya, cadangan pembubaran DUN turut ditolak sekiranya PAS dapat dirujuk untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan tidak mengadakan pertandingan tiga penjuru.

"Jika persempadanan baharu ditolak dan PAS masih mahu pertandingan tiga penjuru, masih ada harapan untuk kekalkan Selangor di bawah kepimpinan Pakatan Harapan.

"Tetapi sekiranya persempadanan baharu dikuatkuasakan dan PAS bertanding secara tiga penjuru, maka hampir tiada harapan untuk selamatkan Selangor dari Barisan Nasional (BN)," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Minggu lalu, Khalid pada sidang media berkata, PAS dilihat sebagai 'spoiler' sekiranya pilihan raya mengejut diadakan di Selangor berikutan parti itu tidak komited sama ada ia berpihak kepada Pakatan Harapan atau kerajaan Barisan Nasional  (BN) atau 'third force'.

Khalid mendakwa, persempadanan baharu dan PAS sebagai 'spoiler' merupakan strategi serampang dua mata yang telah disusun Umno BN, dan ia mampu dipatahkan sekiranya salah satu daripadanya dapat digagalkan.

Sehubungan itu beliau meminta supaya satu mesyuarat khas Majlis Presiden bagi Pakatan Harapan diadakan segera bagi membincangkan persoalan tersebut, dalam mengkaji sejauh mana salah satu dari dua kemungkinan di atas dapat dijamin tercapai.

"Amanah berpandangan sekiranya tiada jaminan bahawa salah satu kemungkinan ini akan tercapai maka adalah wajar pembubaran DUN diterima.

"Amanah ingin menegaskan bahawa menghadapi keadaan tiga penjuru di atas sebab tiada kebersamaan dengan PAS adalah lebih mudah dalam keadaan persempadanan sedia ada berbanding persempadanan baharu dikuatkuasakan," katanya.

Minggu lalu, penasihat DAP, Lim Kit Siang menggesa Kerajaan Selangor menimbang mengadakan pilihan raya mengejut di Selangor bagi mangelak berlakunya peralihan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Amanah, Selangor, PAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain