suria

Tiga Go-Kart Bergesel Punca Kemalangan Ragut Nyawa Dua Beranak

Dua beranak maut selepas dirempuh kenderaan jenis 'Go Kart' yang hilang kawalan ketika dalam perlumbaan ketika kedua-duanya sedang menonton Perlumbaan Automotif dan Inovasi Pendidikan 2016 (EIMARACE 2016) di Kompleks Tertutup Sukan Pahang (Sukpa), Ahad.

KUANTAN: Kemalangan yang menyebabkan dua beranak terbunuh pada Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EimaRace) 2016 di Jalan Sukpa, Indera Mahkota di sini pada Ahad berpunca daripada tiga go-kart bergesel sesama sendiri.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superitendan Mohd Noor Yusof Ali berkata pergeselan go-kart bernombor 22, 27 dan 33 itu telah menyebabkan kenderaan bernombor 27 terbabas lalu merempuh penonton berkenaan.

"Siasatan mendapati program merupakan anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dan mempunyai permit yang sah. 

"Terdapat 38 kenderaan go-kart dalam perlumbaan di dalam litar semasa kejadian.

"Penganjur turut meletakkan penghadang dan tali amaran di sepanjang sebelah kanan jalan sebagai penghadang/pemisah antara penonton dan litar lumba," katanya kepada pemberita di sini, Ahad malam.

Mohd Noor berkata kemalangan pada pukul 11.30 pagi itu menyebabkan penyelia kilang di Gebeng Izwan Isa, 38, dan anaknya Nur Zulaikha, lima tahun, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Dalam kejadian itu, anak sulung Izwan, Muhammad Iz Danial, 7, cedera parah dan dirawat di hospital sama, manakala isterinya Siti Suhaiza Seman, 38, seorang guru di Sekolah Rendah Kebangsaan Indera Mahkota, cedera ringan. 

Mereka berasal dari Kota Bharu Kelantan. 

Mohd Noor menambah ketiga-tiga pemandu go-kart itu, Azril Ba'ith Razak, 25, pelajar Universiti Multimedia Melaka (MMU); Ahmad Saifuddin Mahamud, 23, dari Institut Kemahiran Belia Negara Wakaf Tapai, Terengganu; dan Mohd Rashid Safuan Mohd Sopie, 19, pelajar di Muadzam Shah tidak cedera. 

"Contoh darah dan air kencing ketiga-tiga pemandu go-kart diambil untuk ujian toksikologi Jabatan Kimia," katanya. 

Beliau menambah siasatan dijalankan mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 30 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. 


go-kart, UTM, EimaRace

Artikel Lain