suria

Kediaman Mewah, Pemikiran Cetek

Gambar hiasan.

UNTUK menjadi sebuah negara maju menjelang 2020, rakyat Malaysia juga perlu berfikiran ke hadapan. Namun ia masih jauh lagi untuk dicapai.

Sebagai contoh, gaya hidup di kondominium dan pangsapuri.

Ada di antara hartanah ini mungkin mempunyai kemudahan terbaik tetapi apabila melibatkan kos penyelenggaraan terlalu banyak kekurangannya.

Ia berdasarkan penemuan terbaharu terhadap kualiti pengurusan hartanah berstrata dari kajian yang dijalankan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Setiap tahun, kementerian itu menjalankan Skim Penilaian Kualiti Pengurusan Strata (ITS) atau Star Rating yang menilai kedudukan piawaian badan pengurusan bersama (JMB) atau perbadananan pengurusan (MC) pangsapuri dan kondominium.

Kedudukan badan pengurusan ini dinilai berdasarkan tujuh perkara dengan pengiktirafan lima bintang merupakan ranking tertinggi.

Namun, lebih separuh atau 69 peratus kondominium dan pangsapuri seluruh negara menduduki ranking di bawah par dengan mendapat pengiktirafan satu atau dua bintang pada 2015.

Pada 2014 menyaksikan peratusan yang lebih kecil dengan kira-kira 65% menduduki ranking di bawah par.

Berdasarkan tinjauan hanya 1% atau 74 daripada 7,325 skim pembangunan strata mendapat pengiktirafan lima bintang pada penilaian tahun 2015 yang dimaklumkan kepada Sunday Star.

Jika trend sedemikian berterusan, penduduk pada masa akan datang akan mewarisi standard lemah dalam kehidupan di tengah-tengah kemudahan moden.

Buat masa ini, hampir enam juta daripada 20 juta rakyat Malaysia yang tinggal di bandar menetap di bangunan berstrata seperti pangsapuri dan kondominium.

"Namun jumlah ini akan meningkat pada masa depan ketika negara berkembang dengan pesat," kata Setiausaha Bahagian Perkhidmatan Perbandaran Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mohammad Ridzwan Abidin.

Beliau berkata salah satu masalah utama yang terus menghantui penghuni kondominium adalah keengganan penghuni lain membayar kos penyelenggaraan.

Masalah lain adalah kerosakan bangunan dan perkara berkaitan penguatkuasaan.

"Buat masa ini, kira-kira 70% penghuni di tahap di mana mereka sedar mengenai apa yang perlu dilakukan dalam menguruskan hartanah mereka.

"Mereka belum berada pada tahap menghargai manfaat untuk bekerjasama antara satu sama lain dan mewujudkan budaya hidup yang lebih baik," katanya.

Mohamad Ridzwan berkata terdapat keperluan untuk mengubah pemikiran rakyat dalam memupuk masyarakat yang mempunyai kesedaran sivik di bangunan kediaman bertingkat.

"Generasi pada masa akan datang akan tinggal di bangunan berstrata, jadi orang ramai perlu cuba menjadi contoh yang baik kepada mereka," katanya.

Beliau turut mendedahkan lebih ramai memilih untuk meninggalkan rumah atas tanah dan tinggal di bangunan bertingkat.

"Kumpulan ini akan belajar untuk menyesuaikan diri dengan budaya hidup dalam bangunan berstrata kerana gaya hidup yang berbeza dengan rumah atas tanah.

"Mereka perlu menjadi lebih inklusif dan bekerjasama dengan jiran-jiran mereka," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata golongan itu juga perlu belajar untuk lebih bertimbang rasa apabila menggunakan kemudahan yang dikongsi bersama.

Pada Mac lalu, Sunday Star melaporkan bahawa penduduk tidak membayar kos penyelenggaraan dan caj lain akan dikenakan tindakan tegas apabila kerajaan menubuhkan sebuah pasukan untuk mengukuhkan penguatkuasaan Akta Pengurusan Strata.

Akta tersebut membolehkan penghuni membawa pertikaian kes berkenaan kepada Tribunal Pengurusan Strata untuk diselesaikan.

Malah, Persatuan Pengurus & Ahli Jawatankuasa Bangunan Malaysia, Richard Chan turut bersetuju bahawa masalah terbesar dan kritikal adalah pungutan yuran dengan berkata amat jarang skali JMB atau MC boleh mengutip bayaran daripada 80% penghuni.


Artikel Sebelum

Artikel Lain