Malaysia Ajak Dunia Bersatu Menentang Pengganas - Zahid - Semasa | mStar

Malaysia Ajak Dunia Bersatu Menentang Pengganas - Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada Perbahasan Umum Ke-71 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Ibu Pejabat PBB pada Sabtu. -fotoBERNAMA

NEW YORK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak dunia bersatu bagi menentang keganasan, yang menurut beliau, telah merampas kestabilan dan keselamatan di banyak negara.

Mesej yang disampaikan timbalan perdana menteri melalui ucapan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Sabtu itu amat jelas sekali - hanya dan apabila masyarakat antarabangsa bersatu sahajalah, pengganas akan dapat dikalahkan.

"Malaysia menyertai negara lain menyeru agar tindakan antarabangsa secara habis-habisan dan berkesan diambil dalam perjuangan bersama kita menentang keganasan. Usaha ini perlulah berlandaskan dan menghormati sepenuhnya Piagam PBB dan prinsip undang-undang yang diiktiraf sejagat, termasuk undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa," katanya.

Ahmad Zahid berucap pada Perbahasan Umum Sesi Ke-71 Perhimpunan Agung PBB, yang turut disertai pemimpin dari seluruh dunia.

Keganasan, kata beliau, perlu ditangani melalui perspektif ideologi - dengan membalas naratif dan mengatasi penyebab utama munculnya isu yang boleh dimanipulasi bagi menarik orang menyokong kumpulan pengganas seperti Daesh, Boko Haram dan Al-Shabaab.

"Kita perlu mencari penyelesaian baharu dan terus berusaha untuk memperkukuhkan lagi rangka kerja perundangan domestik kita dalam memerangi ekstremisme keganasan. Usaha berterusan ini perlu melibatkan segenap lapisan penduduk," katanya.

Beliau juga mengetengahkan program deradikalisasi dan pemulihan yang diamalkan Malaysia bagi mengubah set minda individu ekstremis yang telah diasuh supaya menjadi manusia radikal.

Beliau berkata dengan kadar kejayaan sekitar 97.5 peratus, Malaysia sedia berkongsi pengalamannya itu dengan negara lain.

Isu kelewatan yang begitu lama untuk menempatkan semula orang pelarian menimbulkan kesulitan kepada negara tuan rumah - termasuk Malaysia - juga disentuh Ahmad Zahid, yang menggesa Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan agensi berkenaan lain supaya segera mengambil tindakan berhubung perkara itu.

Mengenai migran, beliau berkata Malaysia mengiktiraf sumbangan tenaga kerja asing terhadap kemakmuran ekonominya serta memberi perhatian serius terhadap kes melibatkan eksploitasi buurh, termasuk buruh paksa.

Beralih kepada Palestin, Ahmad Zahid berkata krisis yang berlarutan selama beberapa dekad itu mempamerkan wujudnya kelemahan dalam usaha PBB sendiri, di mana penggunaan veto menyebabkan pendudukan paling lama dalam sejarah dunia itu terus berlanjutan.

Beliau tuurt menyentuh tentang keadaan menyedihkan di Wilayah Palestin Yang Diduduki, yang secara beransur-ansur dan semakin pasti, menyimpang daripada penyelesaian dua-negara.

"Kepungan terhadap Gaza, perluasan penempatan Israel yang tidak henti-henti, pembinaan tembok haram secara berterusan, tindakan mengusir secara paksa rakyat Palestin dari rumah mereka serta pencabulan hak asasi manusia rakyat Palestin terus berlaku dengan sewenang-wenangnya, walaupun semakin mendapat kritikan dan tekanan antarabangsa," katanya.

Mengenai perkembangan di tanah air pula, beliau berkata agenda pembangunan Malaysia sentiasa berpaksikan rakyat dan bergerak selari dengan aspirasi Agenda Pembangunan Lestari 2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).

Katanya, Malaysia kini dalam proses menggubal Peta Arah Tuju SDG Kebangsaan untuk dijadikan dasar penting dan sebagai garis panduan bagi pembangunan mampannya.

Ahmad Zahid juga menyentuh tentang perkara paling penting dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) iaitu pembangunan kemahiran di bawah inisiatif Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) untuk menjadikan Malaysia sebagai modal permulaan bagi Asia.

Terletak di Cyberjaya, MaGIC dilancarkan bersama Presiden Barack Obama dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2014.

Ahmad Zahid juga mengetengahkan inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan Malaysia atau NBOS yang membolehkan lebih 80 kementerian dan agensi bekerjasama bagi mewujudkan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik dan tersusun.

Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

Artikel Lain

Gadis nyaris dirogol lelaki bogel

Spurs pecat Pochettino!