suria

Siambun Bakal Ikut Jejak Leiking Keluar PKR

Darell Leiking

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking mengambil keputusan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menyertai parti baharu yang bakal diketuai oleh bekas Presiden Umno, Datuk Shafie Apdal.

"Saya telah meninggalkan PKR baru-baru ini, tetapi tidak mengumumkannya kerana saya tidak suka menghebohkan hal tersebut.

"Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan memberi sebab berbuat demikian.

"Beliau menghormati keputusan ini," kata Leking kepada The Star.

Ahli Parlimen dari Sabah itu berkata, beliau turut memaklumkan tentang peletakan jawatan tersebut kepada beberapa pemimpin kanan PKR.

Leiking menjelaskan, beliau akan bekerjasama dengan Shafie dan beberapa pemimpin pembangkang Sabah yang lain.

"Pendirian kami tidak akan berubah iaitu untuk menyelamatkan Sabah.

"Kami akan menggunakan segala kekuatan. Kami tidak berhasrat untuk menentang pembangkang.

"Matlamat kami masih sama. Kami mahu perjanjian baharu dengan kerajaan Persekutuan," ujar beliau sambil menambah parti Shafie tidak akan menerajui Parti Usno Baru tetapi sebuah parti berasaskan pelbagai kaum di Sabah.

Leiking turut menyertai Shafie ke Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) di Putrajaya pada Khamis untuk membincangkan hal berkenaan pucuk kepimpinan parti baharu itu.

Turut hadir bersama mereka, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong yang juga keluar dari Umno.

Dalam perkembangan sama, Adun Moyog, Terrence Siambun dijangka mengikut jejak langkah Leiking untuk keluar dari PKR, sekali gus memberi tamparan hebat kepada parti pembangkan itu.

Siambun dipercayai telah menghantar surat peletakan jawatan beliau kepada parti.

Ketika dihubungi The Star, Siambun memaklumkan beliau akan membuat pengumuman pada waktu yang sesuai.


PKR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain