suria

SPR Diminta Pertimbang Kekal Sempadan Gelang Patah

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta mempertimbangkan untuk mengekalkan kawasan persempadanan semula Parlimen Gelang Patah sama seperti pilihan raya umum yang lepas.

Timbalan Pengerusi MCA Bahagian Gelang Patah Tan Ba Ba berkata keputusan SPR baru-baru ini menyaksikan lima pusat daerah mengundi (PDM) melibatkan kira-kira 13,000 pengundi dipindahkan dari kawasan Parlimen itu ke kawasan Parlimen Kulai.

Ia melibatkan PDM Sri Pulai, Ulu Choh, Bandar Ulu Choh, Teratai dan Pulai, katanya.

Tan berkata tiga PDM dari Parlimen Pulai iaitu Selesa Jaya, Sri Sinding dan Jaya Mas melibatkan 6,804 pengundi berpindah ke kawasan Parlimen Gelang Patah.

"SPR perlu mempertimbangkan semula untuk mengekalkan kawasan persempadanan seperti Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) memandangkan kami (Barisan Nasional dan MCA) telah menumpukan perhatian sepenuh masa kepada PDM-PDM ini sebelum ini," kata beliau kepada pemberita di sini pada Selasa.

"Kami tidak diberikan notis yang secukupnya untuk kami tingkatkan usaha pada PDM yang terjejas dan PDM yang baharu. Seharusnya, kami diberi masa sekurang-kurangnya setahun sehingga setahun setengah untuk kami beri perhatian pada kawasan berkenaan," kata beliau.

Tan, yang juga Pengarah Pilihan Raya MCA Kawasan Parlimen Gelang Patah berkata bantahan akan dikemukakan pihak MCA kepada SPR tidak lama lagi.

Selepas persempadanan semula kawasan Parlimen itu, ia menyaksikan jumlah pengundi berkurangan daripada 115,000 pengundi pada PRU13 kepada kira-kira 112,000 pengundi.

Daripada jumlah pengundi itu, 53.87 peratus merupakan pengundi kaum Cina, diikuti 33.48 peratus pengundi Melayu manakala selebihnya kaum India dan lain-lain.

Pada PRU13, kerusi Parlimen Gelang Patah dimenangi Penasihat DAP Lim Kit Siang selepas mengalahkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor pada ketika itu Datuk Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi. - BERNAMA

Pilihan Raya, Gelang Patah

Artikel Sebelum

Ooi Hadir Beri Keterangan

Artikel Lain