suria

Mayat Reput Ditemui Dalam Bagasi Di Sungai Klang

KLANG: Mayat lelaki reput teruk ditemui dalam sebuah beg yang tersangkut pada perangkap sampah di Sungai Klang, Jalan Harper di sini. 

Penemuan ini adalah hampir sama dengan penemun di lokasi serupa, kira-kira sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata seorang pekerja pembersihan warga Indonesia berusia 40-an, menghubungi polis selepas melihat penemuan mengerikan itu kira-kira pukul 8.30 malam Sabtu.

Beliau berkata lelaki itu yang dipercayai dibunuh ditemui dalam keadaan kakinya diikat dengan tali nilon dan kesan kelar di kepalanya.

Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat.

"Mangsa berambut kelabu dan memakai gigi palsu. Tingginya adalah kira-kira 168cm dan berpakaian lengkap.

"Dia memakai baju-T berkolar, berlengan pendek jenama 'Arrow', seluar coklat paras lutut dan tali pinggang Bonia.

"Satu inhaler telah ditemui di dalam poket kiri seluarnya," kata Mohd Yusoff kepada pemberita di ibu pejabat polis daerah, Isnin.


Mangsa juga memakai jam tangan Oris di tangan kirinya dan gelang magnetik di tangan kanannya.

Jam tangan itu dipercayai telah berhenti berdetik pada 31 Ogos sama ada pada pukul 5.50 pagi atau 5.50 petang.

Mohd Yusoff berkata lelaki itu, yang dipercayai rakyat Malaysia, mungkin telah meninggal dunia sekurang-kurangnya dua minggu lalu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

Pada 25 Ogos, mayat reput seorang wanita ditemui dalam bagasi yang tersangkut di perangkap sisa sampah yang sama, kira-kira pukul 1 tengah hari.

Mohd Yusoff berkata anggota keluarga wanita itu telah menghubungi polis selepas sidang akhbar diadakan pada 26 Ogos.

"Kami menahan pelakunya tiga hari kemudian. Dia telah didakwa di mahkamah.

"Kedua-dua kes adalah tidak berkait," katanya.

Menurut Mohd Yusoff, 18 mayat ditemui berhampiran perangkap sampah yang sama dalam tempoh tiga tahun yang lalu.

Sesiapa yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Chua Hang Loun di 019-319 3193.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain