suria

Dewan Rakyat Laksana Sesi Khas MQT Mulai Oktober Ini

Pandikar Amin Mulia.

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat akan melaksanakan sesi khas waktu pertanyaan menteri (MQT) bermula pada persidangan Oktober ini, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau berkata sesi selama 30 minit itu akan diadakan setiap Selasa dan Khamis sebelumnya bermulanya sesi pertanyaan jawab lisan.

"Dari segi pelaksanaan di dewan persidangan, MQT akan bermula jam 10 pagi hingga 10.30 pagi bagi membolehkan soalan isu serius dan mutakhir dijawab oleh menteri berkaitan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi Taklimat dan Simulasi MQT, di sini Isnin.

Pandikar Amin berkata masa yang diperuntukkan kepada anggota Parlimen untuk mengemukakan pertanyaan dihadkan kepada satu minit dan menteri akan menjawab dalam masa tiga minit.

"Ini akan disusuli dengan pertanyaan tambahan yang pertama yang ditetapkan dalam tempoh 30 saat dan seterusnya menteri atau timbalan menteri akan menjawab dalam tempoh masa dua minit 30 saat. Begitu juga bagi soalan tambahan kedua dan seterusnya," katanya.

Pandikar Amin berkata soalan boleh dikemukakan di pejabatnya selewat-lewatnya pada 10 pagi sehari sebelum sesi dijalankan.

"Jika sesi pada Selasa soalannya mesti sampai pada Isnin jam 10 pagi. Jadi kementerian berkaitan akan berbincang bagi menjawab soalan tersebut," katanya.

Beliau berkata sesi baharu yang dilaksanakan ini adalah sebahagian pelan transformasi Parlimen fasa pertama selain sesi Kamar Khas yang telah dilaksanakan bermula persidangan lepas.MQT diluluskan sebulat suara oleh Penyata Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat pada 7 April lalu.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata anggota Parlimen perlu menggunakan platform MQT sebaik mungkin untuk bertanyakan soalan yang memberi kebaikan kepada rakyat dan kerajaan.

"Saya percaya dengan kewibawaan speaker Dewan Rakyat, sesi ini mampu berlangsung dengan baik dan memberi manfaat kepada semua sepertimana objektif asalnya.

"Bagaimanapun, semua anggota-anggota Parlimen termasuk pembangkang perlu menggunakan peluang dan ruang ini sebaiknya, jangan salah gunakan ruang ini untuk kepentingan peribadi dan politik," katanya dalam satu kenyataan.

Azalina berkata susulan pelaksanaan MQT, sebanyak 250 pegawai meliputi semua kementerian akan menyertai kursus di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di Bangi pada Selasa.

Katanya, kursus itu dihadiri oleh semua Setiausaha Sulit Kanan dan Pegawai Tugas-Tugas Khas, serta pegawai-pegawai Penyelaras Parlimen, Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan semua pihak bersedia berdepan dengan prosedur baharu transformasi Parlimen. - BERNAMA

Artikel Lain