suria

Pesara Tentera Terlatih Lebih Sedia Jaga Keselamatan Sekolah

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Pesara tentera boleh berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di sekolah untuk membantu menangani kes buli, pengedaran dadah, merokok dan gejala sosial yang lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Viper Force Sdn Bhd Mohd Rashid Musa berkata mereka akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan mengenai sebarang kemungkinan untuk melibatkan anggota veteran itu bagi mengawal sekolah selain membantu mengekang pengaruh negatif.

"Sekarang kami mempunyai penyusunan dengan PVTB (Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen),  kami mempunyai tenaga yang bersedia untuk berkhidmat sebagai pengawal keselamatan.

"Dan mereka bukan pengawal biasa yang fokus semata-mata untuk mengawal. Mereka dilatih untuk memberikan kawalan keselamatan menyeluruh termasuk memberi maklumat kepada pihak berkuasa berkaitan bagi memudahkan tindakan segera diambil," katanya.

Viper Force dan PVTB dijangka menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Isnin yang membolehkan syarikat itu memanfaatkan perkhidmatan bekas anggota pasukan keselamatan tersebut sebagai pengawal keselamatan.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak kertas cadangan oleh Kementerian Pendidikan untuk menggunakan khidmat anggota Rela bagi membantu menjaga keselamatan di sekolah.

Anggota Rela perlu terlebih dahulu diserap sebagai tenaga kerja syarikat keselamatan sebelum mereka boleh berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di sekolah, katanya.

Mohd Rashid berkata memiliki pengawal terlatih akan memberi manfaat kepada pelanggan dan orang ramai kerana mereka mampu mengendalikan risiko ancaman berganda.

"Pengawal keselamatan tidak seharusnya dianggap sebagai pekerja kelas kedua kerana tugas mereka amat penting dalam membantu menjaga keamanan dan keselamatan negara.

"Pengawal keselamatan juga boleh menjadi mata dan telinga untuk membantu pihak berkuasa mengekang ancaman jenayah di kawasan kejiranan dan tempat kerja," katanya.

pesara tentera, pengawal sekolah

Artikel Lain