suria

Kastam Sabah Gagal Cubaan Seludup Barangan Lebih RM37 Juta

Paddy (tengah) menunjukkan sebahagian rampasan daripada cubaan penyeludupan berupa 62 kontena mengandungi minuman keras, rokok, beras dan tayar kereta bernilai RM5.2 juta dan melibatkan duti bernilai RM37.14 juta di Pelabuhan Sepanggar pada Isnin. -fotoBERNAMA

KOTA KINABALU: Kastam Sabah merampas pelbagai jenis barangan bernilai RM37.14 juta termasuk cukai yang merupakan rampasan terbesar pernah dibuat di Sabah yang cuba diseludup masuk minggu lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Paddy Abd Halim berkata barangan yang dirampas termasuk minuman keras, tayar, rokok dan beras  yang disimpan di dalam 62 buah kontena di Pelabuhan Sepanggar antara 12 September hingga 14 September lalu.

Beliau berkata minuman itu berupa 853,776 liter bir yang disimpan di dalam 49 kontena dengan nilai RM2.67 juta dan nilai duti import sebanyak RM30.03 juta manakala 11 juta batang rokok bernilai RM0.88 juta dengan duti import sebanyak RM6.30 juta di dalam satu kontena.

Beras yang dirampas pula ialah sebanyak 25,000kg atau 500 beg yang disimpan di dalam satu kontena bernilai RM0.04 juta dengan cukai import sebanyak RM0.01 juta manakala 11,000 biji tayar dijumpai di dalam 11 kontena dengan nilai RM1.65 juta dengan nilai cukai import sebanyak RM0.80 juta, katanya.

"Modus operandi yang digunakan adalah pengikraran yang tidak benar ke atas barangan yang memerlukan lesen import bagi pengimportannya.

"Bir, rokok, tayar dan beras yang memerlukan lesen import telah diikrar sebagai 'household goods', machenary, hardware dan lain-lain bagi mengelakkan dari mengemukakan lesen import semasa pengimportannya," kata Paddy kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau berkata bir dan rokok berkenaan dipecayai dibawa masuk dari Singapura dan Vietnam, tayar daripada Hong Kong dan China namun pihak Kastam masih menyiasat sama ada pengimportan barangan itu melibatkan syarikat yang sah atau tidak.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan aktiviti penyeludupan itu melibatkan sindiket namun perkara itu masih dalam siasatan.

"Kejayaan ini adalah merupakan perolehan terbesar di Sabah hasil daripada pengurusan dan analisa risiko 'Collaboration Border Management' (CBM) yang telah ditubuhkan di Pelabuhan Sepanggar pada awal bulan September 2016.

Menurut Paddy, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) dan 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga 20 kali ganda dari nilai barangan atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain