suria

Lima Sekolah Dapat Pengiktirafan IB World School

Mahdzir (kiri) melihat para pelajar melakukan tugasan di dalam kelas selepas majlis penyampaian Sijil Pengiktirafan International Baccalaureate World School di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah pada Isnin. -fotoBERNAMA

ALOR SETAR: Lima sekolah di negara ini mendapat pengiktirafan sebagai 'International Baccalaureate World School (IB World School) - Middle Years Programme' daripada International Baccalaureate, sebuah badan pengiktirafan pendidikan antarabangsa terkemuka di dunia.

Sekolah berkenaan merangkumi empat sekolah harian iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tapang, Samarahan di Sarawak yang mendapat pengiktirafan pada 23 Mac lepas, SMK Sultanah Bahiyah, Alor Setar di Kedah (21 Jun), SMK Putrajaya Precint 9 (2) di Putrajaya (28 Jun), dan SMK Pantai, Labuan di Sabah (21 Julai) serta sebuah sekolah berasrama penuh, Kolej Melayu Kuala Kangsar di Perak (22 April).

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sekolah berkenaan adalah antara 28 sekolah kerajaan di lima negara Asia Pasifik yang diiktiraf sebagai IB World School daripada badan yang berpangkalan di Geneva, Switzerland itu, selain Australia dengan 16 sekolah, China (5) dan masing-masing satu di Jepun dan Hong Kong.

"Melalui program antarabangsa ini, pelajar dilatih menjadi lebih aktif, berperikemanusian, mempunyai kecenderungan untuk belajar sepanjang hayat.

"Ia juga memberi penekanan kepada penglibatan dalam aktiviti sosial dan projek berkumpulan sekaligus mampu bersaing dalam dunia yang mencabar," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil pengiktirafan IB World School di SMK Sultanah Bahiyah di sini, Isnin.

Turut hadir Exco Pendidikan, Pengangkutan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kedah Datuk Tajul Urus Mat Zain dan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

Mahdzir berkata program itu mampu menghasilkan pelajar yang mempunyai 10 ciri utama termasuk bersifat ingin tahu, berpengetahuan, pemikir, mahir berkomunikasi dan mengambil risiko.

Melalui pelaksanaan program itu, katanya pelajar di sekolah kerajaan mampu mendapat pendidikan berkualiti yang pada suatu ketika dahulu hanya diterima sekolah-sekolah elit swasta.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kementerian Pendidikan menjangka tiga lagi sekolah akan mendapat pengiktirafan daripada badan itu menjelang akhir tahun ini.

Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia (AIM) pada 2012 merintis IB World School - Middle Years Programme untuk dilaksanakan di 10 sekolah menengah seluruh negara.

"Misi untuk mendapat pengiktirafan ini memerlukan komitmen dan pengorbanan seluruh warga sekolah dalam melaksanakan segala keperluan bagi memenuhi syarat dan keperluan sebelum mendapat pengesahan serta kelulusan pihak konsultan dan pasukan pemeriksa International Baccalaureate," katanya.

Lima lagi sekolah yang dipilih mengikuti program antarabangsa berkenaan ialah Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan, Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bharu, Kelantan, SMK Seri Tualang, Temerloh, Pahang, SMK Dato' Sheikh Ahmad, Arau, Perlis dan SMK Agama Sheikh Abd Malek, Kuala Terengganu, Terengganu. - BERNAMA

IB World School, lima sekolah

Artikel Sebelum

Mahathir-Anwar Senada Tolak MKN

Artikel Berikut

Artikel Lain