suria

Haron Din Seorang Yang Lembut Namun Tegas Dalam Perjuangan

KUANTAN: Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din disifatkan seorang yang lemah lembut namun tegas dalam perjuangannya menyebabkan beliau sentiasa dihormati dan disegani oleh semua pihak termasuk mereka yang berbeza fahaman politik.

Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar berkata Allahyarham juga seorang yang penyabar dan sopan dalam mengatur tutur kata serta mudah bertegur sapa tanpa mengira sesiapa pun.

"Beliau sentiasa berpesan setiap perjuangan perlu dilakukan dengan istiqamah, sabar serta berlandaskan syariat Islam dan jangan sesekali menukar perjuangan selain dari Islam kerana ia adalah perjuangan para Nabi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Menurutnya, itu antara pesanan terakhir Allahyarham kepada beliau dan rakan-rakan yang lain semasa bertemu di masjid berhampiran kediaman Haron sebelum ini.

Rosli yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Lumpur berkata beliau mula mengenali Mursyidul Am PAS itu secara rapat ketika turut bersama dalam perjuangan PAS sekitar penghujung 1990-an apabila sering hadir dalam program melibatkan Haron.

"PAS Pahang merasa amat kehilangan tokoh agama ini dan mengucapkan takziah kepada keluarganya dan mendoakan semoga rohnya dilimpahi rahmat dan ditempatkan bersama para solihin dan syuhada.

"Kami sangat bersedih dengan pemergian beliau, curahan ilmunya sangat terkesan di hati kami, kehilangannya sukar dicari ganti," katanya.

Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi Jumaat lepas waktu Malaysia di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung dan jenazah Haron telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, California, Amerika Syarikat.

PAS, Haron Din

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain