suria

Suami Wanita Mengandung Turut Dijangkiti Zika - KP Kesihatan

PUTRAJAYA: Suami wanita mengandung yang dijangkiti virus Zika baru-baru ini, disahkan turut dijangkiti virus itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata lelaki berusia 25 tahun itu dari Taman Desa Harmoni, Johor Bahru, hanya mengalami gejala ruam pada 2 September lepas dan disahkan sebagai mangsa keempat yang positif Zika di negara ini, selepas menjalani ujian makmal. 

"Pesakit itu dimasukkan ke wad di sebuah hospital kerajaan di Johor untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Pada 7 Sept lepas, isteri lelaki itu yang sedang mengandung tiga atau empat bulan, disahkan positif Zika selepas mendapatkan rawatan di sebuah hospital kerajaan di Johor apabila mengalami gejala ruam, sakit badan dan demam.

Dr Noor Hisham berkata siasatan Kementerian Kesihatan mendapati lelaki itu berulang-alik setiap hari ke Singapura untuk bekerja dan tidak mempunyai kontak terdekat lain di Malaysia selain ibu mertua dan isterinya.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan telah melakukan aktiviti kawalan vektor di kawasan kediaman pesakit dan semua kawasan yang pernah dikunjungi pesakit di Johor. 

"Sebanyak 445 rumah diperiksa, larvasiding dilakukan di 95 premis, 203 premis diberi semburan thermal dan semburan Ultra Low Volume (ULV) dilakukan di 870 premis.

"Kadar pembiakan Aedes di kawasan itu menunjukkan ia masih mempunyai populasi nyamuk Aedes," katanya.

Menurutnya Pengesanan Kes Aktif juga dijalankan di lokaliti kediaman pesakit dan didapati tiada sesiapa yang mempunyai simptom Zika berhampiran rumahnya.

Kes pertama Zika di negara ini adalah kes import dari Singapura melibatkan seorang wanita berumur 58 tahun dari Klang, Selangor manakala kes kedua adalah kes jangkitan tempatan di Sabah.

Dr Noor Hisham berkata pemantauan Kementerian Kesihatan mendapati dari 1hingga 7 Sept, terdapat 39 kes yang mempunyai gejala dan tanda Zika tetapikesemua mereka mempunyai keputusan ujian yang negatif.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lelaki yang dijangkiti Zika perlu mengamalkan seks selamat atau mengelak daripada melakukan hubungan seks sama sekali untuk tempoh enam bulan daripada tarikh diagnosis. 

"Sekiranya lelaki tersebut mempunyai pasangan yang mengandung dan kerap melawat kawasan yang melaporkan jangkitan Zika, maka hubungan seks hendaklah dielakkan sepanjang tempoh kehamilan pasangannya untuk mengelak komplikasi 'microcephaly' kepada bayi yang dikandung," jelasnya.

Menurutnya orang ramai juga dinasihatkan mengamalkan perlindungan diri daripada gigitan nyamuk dengan menggunakan repelen dan memakai pakaian cerah serta menutup anggota. 

Bersempena cuti sempena sambutan Aidiladha, beliau mengingatkan masyarakat supaya memastikan kawasan rumah dan pejabat bebas daripada kawasan pembiakan nyamuk Aedes. -Bernama

Suami perempuan mengandung, zika

Artikel Sebelum

Artikel Lain