suria

Kalau Kit Siang Boleh, Kenapa Tidak Anwar? - Tun M

PUTRAJAYA: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada sebab untuk parti itu tidak menjalinkan kerjasama dengan parti pembangkang lain.

Bekas perdana menteri itu berkata, matlamat menukar kerajaan dan kepimpinan sedia ada hanya dapat dicapai dengan adanya kerjasama sesama parti pembangkang.

“Kita harap dan berusaha agar semua parti-parti lawan akan bekerjasama dalam satu pakatan supaya tidak ada saingan tiga penjuru dalam pilihan raya akan datang.

“Kalau saya boleh bekerjasama dengan Lim Kit Siang kenapa saya tak boleh kerjasama dengan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya kepada pemberita selepas hadir di pejabat Pendaftar Pertubuhan (Ros) di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan sama ada parti yang baharu diluluskan RoS pada Khamis itu akan berkerjasama dengan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Dr Mahathir berkata, apabila sesebuah parti pembangkang bertanding secara berasingan dan membiarkan berlakunya pertandingan tiga penjuru, tindakan itu sama seperti mereka berjuang untuk kemenangan Barisan Nasional (BN).

Katanya, sejak 59 tahun lalu parti-parti yang menentang kerajaan dan tidak bekerjasama sesama mereka akan kalah dalam pilihan raya.

“Samalah kalau ada parti yang tak nak bergabung, mereka sebenarnya berjuang untuk BN, untuk menentukan BN kekal sebagai kerajaan Malaysia.

“Dan ia terpakai kepada semua parti pembangkang termasuklah PAS,”  katanya.

Menurut Dr Mahathir, PPBM tidak dapat mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada tahun ini  bagi menentukan beberapa perkara kerana kekangan masa.

“Oleh kerana masa yang pendek tahun ini kita tak dapat adakan AGM kerana tak cukup masa.

“Kita akan adakan satu mesyuarat agung dan ia akan menentukan tentang beberapa kehendak parti iaitu dengan membuat pemilihan-pemilihan,” katanya.

Pada 5 Ogos lalu, bekas timbalan presiden Umno dan bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memfailkan permohonan bagi mendaftar PPBM.

RoS pada Khamis meluluskan permohonan itu dengan parti itu perlu menggunakan akronim PPBM, bukan Bersatu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain