suria

Pemandu Lori Bauksit Mengaku Tidak Bersalah Sebabkan Kematian Guru

KUANTAN:  Seorang pemandu lori bauksit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan memandu secaramelulu sehingga menyebabkan kematian guru Norhaili Ahmad Zabidi, Disember lalu.

Fairul Azman Azmi, 36, yang kelihatan tenang membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 3.20 petang, 21 Disember lalu di hadapan Ibam Mining Sdn Bhd Sungai Karang, Jalan Pintasan Kuantan di sini, semasa memandu lori bernombor pendaftaran MAA 1595. 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nik Azwan Sidi Ahmad mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan. 

Peguam Saifuldin Ab Rahman yang mewakili tertuduh merayu jaminan RM5,000yang ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak bekerja selepas kejadian itu.

"Kejadian itu menjadi viral di laman media sosial dan sejak itu, tertuduh gagal mendapatkan pekerjaan walaupun banyak kali mencuba. Tertuduh kiniditanggung isterinya yang bekerja sebagai kerani kilang dengan pendapatan RM900 sebulan. 

"Mereka mempunyai dua anak yang masih bersekolah dan saya meminta pertimbangan mahkamah untuk mengurangkan jaminan," katanya.

Nurunaim menetapkan jaminan RM5,000 dengan dua penjamin dan memerintahkan lesen memandu tertuduh yang berasal dari Bandar Pusat Jengka, Pahang itu digantung sehingga kes selesai. Mahkamah menetapkan 26 Sept ini sebagai tarikh sebutan semula kes. 

Pada 22 Dis lalu, media melaporkan Norhaili, 40, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Balok di sini, maut selepas sebiji tayar lori muatan bauksit tercabut dan terpelanting sebelum menghempap bumbung kereta Perodua Myvi yang dinaikinya.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala suaminya Raziamir Muhamad Razali, 42, yang memandu kereta itu tidak mengalami kecederaan. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Najib Temui PM Thailand

Artikel Lain