suria

Penyokong Bola Sepak Tak Minat Tahu Pembocor Maklumat Pen Drive - KJ

KUALA LUMPUR: Kandungan dalam pemacu pena yang dikatakan mempunyai dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah lebih penting berbanding siapa pembocor maklumat berkenaan, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, penyokong bola sepak tidak berminat untuk mengetahui siapa yang mendedahkan maklumat itu.

"Sudah tentu, kandungan dalam pen drive (pemacu pena) adalah lebih penting," katanya ketika ditanya sama ada FAM perlu mendedahkan kandungannya, atau memburu mereka di sebalik pendedahan itu.

"Bagi saya, saya percaya penyokong bola sepak tidak berminat tahu apa yang FAM katakan mengenai siapa yang membocorkan maklumat berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Julai lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik posting di halaman Facebook Johor Southern Tigers dengan mendakwa beliau mempunyai bukti mengenai aktiviti rasuah dalam FAM, yang disimpan dalam pemacu pena.

Pada 2 September lalu, Tunku Ismail menyerahkan pemacu pena tersebut kepada Khairy ketika menerima kunjungan menteri di IstanaBukit Pelangi, Johor Baru.

Pemacu pena yang dikatakan mengandungi 279 halaman mengenai bukti dakwaan rasuah diserahkan Khairy kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tunku Ismail kemudiannya menjelaskan bahawa kandungan pemacu pena tersebut adalah mengenai isu teknikal FAM.

Katanya, ia termasuk sikap pilih kasih, jurulatih yang tidak profesional dan exco FAM yang tidak menjalankan tugas dengan betul.

Pada Isnin lalu, SPRM bagaimanapun menjelaskan bahawa ia tidak menemui sebarang elemen rasuah dalam kandungan pemacu pena tersebut.

Menurut FAM, ia berharap penjelasan SPRM "telah menyelesaikan" perkara itu.

Khairy Jamaluddin, pemacu pena, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain