suria

Bekas CEO Sime Darby Bebas Tuduhan Pecah Amanah, Tipu

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin melepaskan dan membebaskan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad Datuk Seri Ahmad Zubair Murshid daripada pertuduhan pecah amanah dan menipu.

Hakim Zulqarnain Hassan membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu bahawa pihaknya tidak lagi berniat meneruskan pendakwaan terhadap Ahmad Zubair, 58.

Beliau berkata pertuduhan itu ditarik balik selepas Jabatan Peguam Negara menerima dan berpuas hati terhadap representasi yang dikemukakan tertuduh melalui peguamnya, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, 22 Julai lepas.

Ahmad Akram memohon tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.

"Selepas mendapat taklimat daripada peguam negara dan mempertimbangkan dari semua sudut undang-undang dan fakta, pihak kami memutuskan tidak akan meneruskan kes ini kerana merasakan pendakwaan tidak mencapai standard melampaui keraguan munasabah," katanya.

Bagaimanapun, Mohamed Yusof memohon supaya anak guamnya dilepaskan dan dibebaskan mengikut Seksyen 254(3) kanun sama dengan mengambil kira jabatan itu telah menerima representasi pihak pembelaan.

Ahmad Zubair yang berada dalam kandang tertuduh meraup mukanya tanda syukur selepas mahkamah menyampaikan keputusan melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan itu.

Kes itu sepatutnya ditetapkan untuk sambung perbicaraan pada hari ini.

Pada 17 Julai 2012, Ahmad Zubair, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pindaan utama pecah amanah jenayah dana Sime Darby Berhad membabitkan projek pembangunan tanah adat Sarawak yang menyebabkan kerugian lebih RM100 juta.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zubair juga berdepan dua pertuduhan alternatif iaitu memperdaya anggota lembaga pengarah Sime Darby Berhad membabitkan projek sama mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan di pejabat Sime Darby Berhad, Tingkat 21, Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut di sini antara 17 Nov 2008 dan 4 Dis 2009.

Pada 15 Mac 2013, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahmad Zubair untuk membatalkan pertuduhan berkenaan.

Mahkamah Rayuan menolak rayuannya berhubung perkara itu pada 18 Julai 2013.

Pada 24 Mac 2014, Mahkamah Persekutuan memerintahkan Ahmad Zubair dibicarakan di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan tersebut.

Artikel Lain