suria

Pengerusi Bank Rakyat Dibebaskan Dengan Jaminan

Pengerusi Bank Rakyat Jeneral (Bersara) Tan Sri Abdul Aziz Zainal dibebaskan dengan jaminan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya, Isnin. -fotoTHESTAR
PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret di sini pada Isnin membebaskan Pengerusi Bank Rakyat Jeneral (Bersara) Tan Sri Abdul Aziz Zainal daripada tahanan reman berhubung siasatan penyelewengan dana bernilai RM15 juta membabitkan projek penerbitan buku.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan Abdul Aziz, 65, dibebaskan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengemukakan permohonan melanjutkan reman.

Menurut jurucakap SPRM, pengerusi bank berkenaan dibebaskan dengan jaminan tanpa deposit dengan seorang penjamin.

Mahkamah sebelum ini mengeluarkan perintah reman ke atas Tan Sri itu bagi tempoh tujuh hari bermula 30 Ogos lalu.

Lelaki itu ditahan di ibu pejabat SPRM ketika tampil memberi keterangan, pada 1.15 tengah hari, Isnin lalu (29 Ogos).

Pada 25 Ogos lepas, SPRM menahan lapan orang termasuk tiga wanita bagi membantu siasatan kes itu.

Mereka terdiri daripada seorang pengarah urusan, seorang pengurusan perolehan bank, dua peguam, tiga pemilik syarikat penerbitan dan seorang penulis buku yang juga mengurus syarikat.

Setakat ini, tujuh individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes telah dibebaskan manakala reman seorang daripada pemilik syarikat penerbitan dilanjutkan selama tujuh hari sehingga Khamis ini (8 Sept).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain