suria

Ujian Darah Tiga Ahli Keluarga Mangsa Virus Zika Negatif - MPK

Gambar hiasan.

KLANG: Keputusan ujian darah ke atas tiga anggota keluarga terdekat mangsa virus Zika di Bandar Botanic, Klang, didapati negatif virus berkenaan, kata Pengarah Kesihatan Majlis Perbandaran Klang (MPK) Azmi Muji.

Beliau berkata sampel darah dan pengesahan dilakukan Hospital Sungai  Buloh iaitu tempat mangsa wanita itu dirawat dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Sampel darah diambil dari tiga anggota keluarga iaitu suami, anak lelaki dan kakak mangsa," katanya ketika ditemui pemberita di Ambang Botanik di sini Ahad.

Malaysia mencatat kes pertama apabila wanita berusia 58 tahun itu disahkan positif dijangkiti virus itu selepas pulang dari Singapura pada 21 Ogos lalu.

Pada Sabtu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan seorang lelaki berumur 61 tahun yang menetap di Taman Public Jaya, Likas, Sabah, yang merupakan kes jangkitan virus Zika tempatan pertama di negara ini, meninggal dunia petang semalam akibat komplikasi masalah jantung yang dihadapinya.

Dalam pada itu, Azmi berkata MPK menjalankan langkah pencegahan penyebaran Zika di rumah pesakit wanita berkenaan antaranya dengan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk, pengkabutan dan memasang perangkap untuk mengetahui  jumlah nyamuk di kawasan itu,

Menurutnya, langkah pencegahan dan kawalan virus itu adalah serupa dengan penyakit demam denggi.

"Pagi ini, kita mengadakan gotong-royong bersama penduduk kawasan Taman  Ambang Botanik sebagai langkah pencegahan virus Zika. Kita akan terus membuat  langkah pencegahan di kawasan itu melibatkan 822 unit rumah.

Sementara itu, Anggota MPK Robert Choo berkata mengikut statistik  sepanjang Julai lepas, daripada 3,701 rumah yang diperiksa secara rawak di seluruh Klang, 103 rumah didapati mempunyai tempat pembiakan nyamuk. - BERNAMA


virus Zika, negatif, Bandar Botanic

Artikel Lain