suria

Polis Tahan Sembilan Lelaki Terlibat Kes Rompak Kedai Emas

PUTRAJAYA: Polis Putrajaya berjaya menyelesaikan kes rompakan pertama kedai emas di Presint 15 di sini pada 14 Ogos lepas dengan tertangkapnya sembilan lelaki berusia antara 20 dan 30-an.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hasan berkata kesemua lelaki berkenaan ditahan dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan selepas seminggu rompakan itu berlaku.

Kesemua mereka kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

"Turut dirampas bersama sembilan lelaki warga tempatan berkenaan ialah sebuah kenderaan Toyota Alphard, sebuah Perodua Viva, sebuah motosikal dan wang tunai RM19,439 dipercayai sebahagian daripada hasil jualan emas yang disamun.

"Barangan lain yang dirampas ialah dokumen transaksi yang dibuat suspek menggunakan wang hasil jualan emas iaitu dokumen pembayaran hutang Ah Long berjumlah RM1,100, resit pembayaran kos perubatan salah seorang anak suspek, jam tangan dan alat untuk melebur emas," katanya dalam sidang media di sini Ahad.

Menurut Rosly, sembilan lelaki yang ditahan itu memainkan peranan yang berbeza dalam kes rompakan berkenaan dengan tiga daripadanya merompak kedai emas  bersenjatakan tukul besi serta penyembur lada, seorang lagi menunggu dalam Toyota Alphard dan seorang lagi menunggu dalam Perodua Viva.

Jelas beliau, dua lagi lelaki yang ditahan merupakan pembeli emas yang dileburkan, seorang menjalankan peranan melebur emas dan seorang lagi berperanan sebagai pemudahcara urusan jual beli emas yang sudah dilebur.

Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun menggunakan senjata secara berkumpulan.

Rosly turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang memberi kerjasama kepada pihak polis sehingga kes berkenaan berjaya diselesaikan. - BERNAMA

rompakan, kedai emas, PDRM, Putrajaya

Artikel Sebelum

Artikel Lain