suria

Tiga Lelaki Ditahan Mendulang Emas Secara Haram Di Tanah Milik Sultan Johor

Gambar hiasan.

JOHOR BARU: Tiga lelaki ditahan polis kerana didapati menceroboh dan mendulang emas di tanah persendirian milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Jemaluang, Mersing, pagi Sabtu.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 29 hingga 36 tahun itu ditahan kira-kira 11.50 pagi dalam satu serbuan di lokasi kejadian.

Turut dirampas peralatan yang digunakan untuk mendulang emas seperti pam air, kuali, cangkul, penyodok, baldi dan lain-lain peralatan, kata beliau dalam satu kenyataan di sini Ahad.

"Pihak polis memandang berat akan kesalahan ini dan menasihati orang ramai agar tidak melakukan kegiatan pencerobohan serta aktiviti mendulang emas secara haram kerana aktiviti tersebut boleh mengundang bahaya kepada pendulang serta mencemar alam sekitar," kata Wan Ahmad Najmuddin.

Kes disiasat dibawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan kesemua mereka direman dibawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan, kata beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain