suria

Tujuh Perompak Bersenjatakan Parang, Pistol Larikan Wang Tunai RM1.14 Juta

Sebuah mesin pengeluaran automtik (ATM) dipecahkan dalam kejadian rompakan di sebuah pasaraya pada Ahad. Dalam kejadian awal pagi itu, dua buah mesin pengeluaran automtik (ATM) dan tiga peti besi pasaraya itu telah dipecah oleh tujuh penjenayah dipercayai warga asing yang melarikan wang tunai berjumlah kira-kira RM1.14 juta.

KUALA NERUS: Tujuh lelaki bersenjatakan pistol dan parang merompak sebuah pasar raya di Gong Badak, di sini awal pagi tadi menyebabkan kerugian kira-kira RM1.14 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, dalam tempoh empat jam bermula pukul 2.15 pagi itu, suspek telah memecahkan dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan tiga peti besi yang terdapat dalam pasar raya terbabit.

Katanya penjenayah berkenaan juga bertindak mengikat keempat-empat pengawal  keselamatan sebelum dikurung di dalam sebuah stor berhampiran. 

"Ketika kejadian itu empat pengawal keselamatan sedang bertugas sebelum salah seorang daripadanya menyedari kehadiran kumpulan penjenayah ketika membuat rondaan...sejurus selepas itu penjenayah berkenaan mengurung kesemua pengawal keselamatan terbabit di dalam stor.

Mereka mengambil masa-masa kira-kira empat jam untuk melarikan wang berkenaan dan kita percaya mereka berpecah untuk melakukan rompakan tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui ditempat kejadian.

Menurutnya, lima daripadanya masuk ke dalam pasar raya dan memecahkan dua mesin ATM menggunakan gas asetilena dan tiga peti tunai menggunakan mesin pemotong besi.

Jelasnya penjenayah itu juga bertindak memadamkan kamera litar tertutup (CCTV) dan alat penggera terlebih dahulu dan tidak menolak kemungkinan rompakan tersebut dilakukan warga asing berdasarkan loghat percakapannya.

"Suspek beredar meninggalkan lokasi kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi dengan melarikan wang tunai dianggarkan bernilai RM1.14 juta. Semua suspek dipercayai menggunakan tukul besi, kuku kambing, mesin pemotong besi dan gas asetilena untuk melakukan rompakan berkenaan.

Kita yakin ia telah dirancang dengan teliti dan siasatan daripada semua sudut sedang dilaksanakan sama ada melibatkan pekerja mahupun bekas pekerja pasar raya berkenaan," katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata dan berkumpulan.-- Bernama 


Artikel Lain