suria

Hishammuddin Mahu Jumpa Bekas Ketua Pemuda Komponen BN, Bincang Strategi PRU

BENTONG: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bercadang mengadakan perjumpaan bersama bekas-bekas ketua pemuda parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk mencari mekanisme terbaik memperkukuhkan parti.

Hishammuddin berkata pertemuan dengan mereka, yang kini menjawat pelbagai jawatan penting dalam kerajaan, itu penting untuk mencari persefahaman dan kesepakatan dalam soal gerak kerja bagi membantu BN menghadapi dan memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Sekarang ujian yang dihadapi kita datang daripada pelbagai sudut, dari dalam dan luar negara, malah bukan sahaja parti induk kita diuji, tetapi sayap dan parti komponen juga tidak terlepas daripada masalah.

"Segala hal ini tidak mungkin untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadapinya seorang diri jika kita tidak membantunya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Bentong di sini, Ahad. 

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Bentong merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Hishammuddin pernah menjadi Ketua Pemuda Umno bermula 1998 sehingga 2009 dan bekas ketua pemuda parti komponen BN yang kini menjawat jawatan penting dalam parti dan kerajaan termasuk Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong. 

Hishammuddin berkata sebagai satu-satunya parti yang mempunyai 14 parti komponen di negara ini, BN perlu menunjukkan keunikan kerjasama politik terutama dalam membantu rakyat di kawasan yang mempunyai komposisi penduduk pelbagai kaum seperti Sembrong, di Johor dan Bentong sendiri.

"Pembangkang cuba hendak meniru BN dengan mewujudkan pakatan mereka sendiri, namun tidak berjaya dan akhirnya berpecah, jadi kita mesti buktikan apa yang diwarisi selama ini (kesatuan antara parti komponen) diterjemah dengan baik terutama dalam gerak kerja menghadapi pilihan raya akan datang," katanya.

Dalam ucapannya sebelum itu, Hishammuddin turut menyeru semua anggota Umno di peringkat bahagian di seluruh negara mewujudkan 'gelombang-gelombang kecil' yang kemudian menjadi tsunami untuk mempertahankan kubu-kubu kuat Umno dan BN pada PRU akan datang.

Dalam masa yang sama, katanya semua anggota parti di peringkat pusat daerah mengundi (PDM) perlu berada dalam keadaan 'mood bersedia' untuk menghadapi PRU dengan mula mengatur gerak kerja termasuk mengenal pasti pengundi di kawasan masing-masing.

"Kenal pasti berapa ramai yang telah daftar pada PRU lepas tetapi tidak keluar mengundi, ini semua perlu dikaji dan dipersiap dengan rapi supaya apabila perdana menteri umumkan bubar Parlimen, kita telah bersedia untuk pastikan setiap calon kita menang,"katanya. -- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain