suria

Rapid KL Lanjut Operasi LRT, Monorel, BAS Sempena Ambang Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara iaitu sistem transit aliran ringan (LRT), monorel dan bas bandar kelolaan Rapid KL akan dilanjutkan bagi memberi peluang kepada orang ramai menyambut ambang Hari Kebangsaan 2016 malam ini di Dataran Merdeka, di sini.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan hari ini berkata stesen LRT Masjid Jamek dan Hang Tuah bagi Laluan Sri Petaling; stesen LRT KLCC dan Masjid Jamek bagi Laluan Kelana Jaya; dan stesen Bukit Bintang dan Hang Tuah bagi laluan monorel akan dilanjutkan sehingga pukul 1 pagi nanti.

"Stesen lain akan ditutup seperti biasa, pengguna boleh keluar di kesemua stesen LRT dan monorel untuk meneruskan perjalanan mereka. Pusat kawalan operasi kami di Subang dan Ampang akan memantau rapi pergerakan penumpang di stesen untuk memastikan sama ada waktu operasi perlu dilanjutkan jika perlu," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyatakan Rapid KL juga akan menambah kekerapan tren di ketiga-tiga laluan LRT dan monorel dari pukul 8 malam hingga 1 pagi.

Selain itu, perkhidmatan bas Rapid KL dari Hab Bas Pasar Seni untuk beberapa kawasan perumahan juga akan dilanjutkan perkhidmatannya dengan bas terakhir akan berlepas selepas tren terakhir berlepas.

Ia melibatkan laluan 173 (Jalan Munsyi Abdullah-Taman Jasa Utama); 250 (Lebuh Ampang-Wangsa Maju); 300 (lebuh Ampang-Pandan Mewah); 450 (Jalan Silang-Terminal Kajang); 751 (Pasar Seni-Taman Sri Muda); 781 (Pasar Seni-Taman Medan); 640 (Pasar Seni-Taman Sri Manja/Taman Sri Sentosa); 602 (Pasar Seni-Puchong Prima); 780 (Pasar Seni-Kota Damansara) dan 180 (Pasar Seni-Taman Dato' Senu).

Dalam pada itu, Rapid KL menyarankan orang ramai yang ingin meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2016 di Dataran Merdeka pada esok (31 Ogos) supaya menggunakan perkhidmatan LRT dan monorel yang akan bermula 6 pagi memandangkan penutupan di beberapa jalan utama.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain