suria

Polis Tahan Empat Lelaki Dipercayai Terlibat Kecurian Peranti MSAN

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mohd Nashir Ya (dua, kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 40 peranti multi-service access node (MSAN) milik Tekekom Malaysia (TM) yang dirampas dalam satu operasi di Sungai Petani pada 26 hingga 28 Ogos lalu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah. Turut hadir Pengurus Besar TM Kedah/Perlis, Noor Lela Baba (dua, kiri).

ALOR SETAR: Polis menahan empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian nod capaian pelbagai perkhidmatan (MSAN) milik Telekom Malaysia Berhad (TM) bernilai kira-kira RM850,000 dalam satu operasi di sekitar Sungai Petani.

MSAN adalah satu daripada peranti yang dipasang pada ibu sawat telefon (turut dikenali kabinet) bagi menghubungkan talian telefon pengguna kepada rangkaian teras, sekali gus menawarkan perkhidmatan telefon dan jalur-lebar internet.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mohd Nashir Ya berkata suspek yang berumur antara 20-an hingga 40-an itu merupakan anak kepada bekas pekerja TM dan seorang bekas pekerja kontrak TM selain dua peniaga barangan lusuh.

Beliau berkata dalam Ops Cantas Telco/TM itu pada 26 dan 28 Ogos lepas, polis turut merampas lebih 40 MSAN serta 20 unit modem di sebuah premis barangan lusuh di kawasan Perindustrian Ringan Angsana, Sungai Petani.

"Kita menerima lebih 50 laporan polis daripada TM berhubung kecurian MSAN sejak April lepas dan kita percaya ia untuk dijual kepada pihak ketiga sebelum diedar ke pasaran tempatan dan luar negara," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini, Selasa.

Mohd Nashir berkata suspek dipercayai mencuri MSAN dalam kabinet milik TM yang kebanyakannya terdapat di tepi jalan raya di daerah Kuala Muda, Kota Setar, Pendang dan Yan.

Beliau berkata suspek mampu mendapat keuntungan antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap satu MSAN kerana peranti itu sukar didapati di pasaran tempatan.

Katanya kesemua mereka kini direman sehingga 1 Sept depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Beliau berkata polis turut mengesan seorang lagi lelaki dikenali sebagai Shahmizal Mat Isa, 35, dari Taman Seri Impian, Sungai Petani bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu terbabit diminta menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran.

MSAN, TM

Artikel Sebelum

Artikel Lain